Selangor tarik balik tauliah mengajar Zamihan


Majlis Agama Islam Selangor diarahkan menarik balik tauliah mengajar pendakwah Zamihan Mat Zain di negeri itu susulan ceramah agamanya rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja. – Gambar YouTube, 16 Oktober, 2017.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar pendakwah Zamihan Mat Zain di negeri itu susulan ceramah agama yang disampaikannya mengandungi perkataan rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

Johor sebelum ini mengambil tindakan terhadap Zamihan, termasuk memutuskan ikatan dengan agensi agama persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, arahan itu dikeluarkan mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Selangor) 2008.

Keahlian Zamihan sebagai Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor juga dibatalkan.

“Tambahan pula ceramah agama yang disampaikannya diadakan di Masjid Diraja yang mana ceramah agama seperti itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais.

Pada 13 Oktober, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan larangan sementara terhadap Zamihan daripada berceramah di semua masjid dan surau di negeri itu.

Pendakwah itu disiasat mengikut Akta Hasutan dan ditahan reman bagi membantu siasatan dakwaan mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi Muslim di negeri itu.

Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan direman selama dua hari selepas satu video kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor mengenai isu “kedai dobi untuk orang Islam” tersebar di media sosial.

Beliau dibebaskan daripada tahanan reman pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Zamihan disiasat kerana didakwa menghasut dalam ceramah yang mengkrtik Sultan Johor itu.

Dalam video berkenaan Zamihan berkata “tidak betul” untuk menyekat kedai dobi seperti itu.

Zamihan yang merupakan pegawai agama Jabatan Penjara yang dipinjamkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, menafikan kenyataannya itu mengkritik atau menghina Sultan Johor. – 16 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen