KPN sahkan hubungan sulit pegawai SPRM dalam siasatan


POLIS hari ini mengesahkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang disiasat kerana menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.

Jika didapati bersalah, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami dalam proses menentukan fakta, jika perlu, kami akan tangkap.

“Beri kami masa untuk siasat perkara ini. Bukan mudah bagi kami untuk mengesan tetapi kami sedang berusaha keras untuk mencari siapa yang bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang seorang pegawai kanan SPRM yang didakwa mempunyai hubungan dengan isteri orang.

Fuzi berkata mereka juga masih belum menerima sebarang laporan daripada SPRM.

“Jadi beri kami masa. Kami juga cuba sebaik mungkin untuk cari siapa yang bertanggungjawab (terhadap video itu).

“Pada masa ini, tidak ada tangkapan. Kami sedang cuba cari orang yang buat video itu,” katanya.

Polis mula menyiasat kes itu selepas menerima laporan mengenai video itu daripada seorang eksekutif pemasaran minggu lalu.

Awal hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata video mengaitkan pegawai SPRM dalam hubungan sulit itu bermakna ia satu ancaman dan peras ugut terhadap agensi berkenaan.

New Straits Times melaporkan beliau sebagai berkata pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan video itu mungkin rasa tertekan susulan pendirian agresif SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.

“Saya mengutuk mereka yang cuba memfitnah SPRM (pegawai) dengan cerita yang terlalu sensasi ini. Ia dibuat dengan niat untuk memeras ugut (pegawai dan SPRM) supaya tidak mengambil tindakan tegas dalam membanteras rasuah melibatkan tokoh politik tertentu.

“Saya harap SPRM tak akan berkompromi dengan taktik seperti itu. Ada banyak pihak yang kini terasa panas disebabkan ketegasan SPRM dalam memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Kekecohan itu bermula susulan kemunculan video berdurasi tiga minit, mendakwa satu pasangan telah bercerai pada 28 September di mahkamah rendah syariah Ulu Klang disebabkan wanita itu didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad menjadi viral di medial sosial.

Wanita yang dikaitkan dengan Dzulkifli itu kemudian tampil dan berkata dia akan menanggung kesalahan namun tidak akan mendedahkan punca sebenar perceraiannya.

Dia memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya secara terbuka di Facebook.

Tuduhan itu berlaku ketika SPRM giat menahan beberapa ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat dengan rasuah.

Dzulkifli bagaimanapun masih tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Pesanan teks dan panggilan telefon yang dihantar The Malaysian Insight kepadanya masih tidak berjawab. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen