Video babitkan pegawai SPRM 'cubaan peras ugut', kata Puad Zarkashi


Video itu bertujuan untuk mengugut dan mengancam SPRM, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi. – Gambar Facebook, 17 Oktober, 2017.

SEBUAH video membabitkan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai hubungan sulit adalah bertujuan untuk mengugut dan mengancam suruhanjaya itu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

New Straits Times melaporkan beliau sebagai berkata, pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan video itu mungkin tertekan dengan tidakan-tindakan agresif SPRM memerangi rasuah di negara ini.

“Saya mengutuk mereka yang cuba memfitnah SPRM (pegawai) dengan cerita yang terlalu sensasi ini. Ia dibuat dengan niat untuk memeras ugut (pegawai dan SPRM) supaya tidak mengambil tindakan tegas dalam membanteras rasuah melibatkan tokoh-tokoh politik tertentu.

“Saya harap SPRM tak akan berkompromi dengan taktik seperti itu. Ada banyak pihak yang kini terasa panas disebabkan ketegasan SPRM  dalam memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Melalui sebaran cerita fitnah ini, mereka berharap SPRM akan takut menjalankan siasatan tertentu,” beliau dipetik sebagai berkata.

Kenyatan Puad itu susulan video berdurasi tiga minit, mendakwa satu pasangan telah bercerai pada 28 September di mahkamah rendah syariah Ulu Klang disebabkan wanita itu didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad viral di medial sosial.

Wanita yang dikaitkan dengan Dzulkifli itu kemudian tampil dan berkata dia akan menanggung kesalahan namun tidak akan mendedahkan punca sebenar perceraiannya.

Dia memohon maaf kepada Dzulkifli dan keluarganya secara terbuka di Facebook.

Video itu menunjukkan beberapa keping gambar wanita itu yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang lelaki yang dikatakan pegawai SPRM. Beberapa gambar dalam video itu termasuklah gambar wanita itu bersama keluarganya termasuklah dua anak mereka yang masih kecil

Video itu turut meletakkan beberapa kepingan klip video lama seorang pegawai kanan SPRM. Dalam satu klip video itu, pegawai itu bercakap dengan lelaki dan wanita yang pegangan agama dianggap sesat dan tidak mahu bertaubat. Sebuah lagi klip menunjukkan pegawai itu mendeklamasikan sajak berkaitan integriti.

Tuduhan itu berlaku di ketika SPRM giat menahan beberapa ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat dengan rasuah. 

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Aziz semalam berkata iacubaan sengaja menjatuhkan kredibiliti Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkfli Ahmad, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. – 17 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen