MENTERI Sumber Manusia M Kula Segaran menyeru Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menimbang semula keputusan gulung tikar dan menghentikan operasi, yang menyebabkan lebih 800 kakitangannya hilang pekerjaan.
Katanya, sebagai akhbar berbahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia harus kekal dan ada pihak yang boleh membantu syarikat itu dari segi kewangan.
“Saya baru baca berita. Saya akan dapatkan maklum balas yang penuh daripada Utusan dan jabatan. Kalau ini benar, saya akan minta syarikat menimbang semula kerana Utusan sudah ada lama, atau mungkin ada pihak lain yang boleh bantu syarikat.
“Saya harap Utusan akan timbang atau mungkin ada pembeli lain akan ambil alih,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.
Mulai minggu ini, permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo dipegang oleh Dilof Sdn Bhd, syarikat yang Utusan ada pegangan 30%.
Isnin lalu, Utusan melepaskan pegangan 70% dalam Dilof kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.
Sumber di Putrajaya memberitahu The Malaysian Insight, Dilof memegang permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi mingguan kedua-duanya sejak 5 September lalu.
Dilof adalah syarikat milik Aziz yang ditubuhkan pada 23 Ogos 2018, sebelum diambil alih oleh Utusan pada 26 Ogos lalu – empat hari sebelum Utusan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.
Maklumat Utusan kepada Bursa Malaysia ketika itu menyebut Dilof terlibat dalam perniagaan periklanan dan komunikasi media digital serta lain-lain media.
Sementara itu, Kula meminta kakitangan Utusan berhubung dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenai skim insurans pekerja. Skim itu membolehkan mereka mendapat sedikit pampasan selama enam bulan berdasarkan gaji akhir.
Dalam satu kenyataan yang menyusul, Kementerian Sumber Manusia menjelaskan pegawai kementerian sudah berhubung dengan Pengerusi Utusan Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
“Pihak kementyerian akan mengambil tindakan sewajarnya dengan pelikuidasi interim berdasarkan undang-undang semasa,” kata kenyataan itu.
Utusan, yang bermula pada akhir 1930-an, awal hari ini mengumumkan syarikat gulung tikar selepas semua usaha gagal untuk memulihkan kedudukan kewangan dan lepas dari beban hutang.
Berdasarkan laporan sebelum ini, hutang Utusan dianggarkan dalam lingkungan antara RM240 juta hingga RM340 juta. – 9 Oktober, 2019
Komen