Isu Foodpanda bukan urusan kerajaan, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataan menteri belia dan sukan berhubung isu Foodpanda adalah pandang peribadi dan bukannya pendirian kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2019.

ISU berhubungan Foodpanda bukan urusan kerajaan dan ia tidak dibincangkan oleh anggota Kabinet, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pengendali Foodpanda dan pengurusannya adalah pendapat peribadi menteri itu.

“Beliau tidak membincangkannya dalam mesyuarat Kabinet. Ia bukan pendirian dan urusan kerajaan.

“Mungkin beliau mempunyai alasan sendiri untuk kenyataan itu,” kata Dr Mahathir di lobi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada kerajaan campur tangan dalam perniagaan swasta selepas Syed Saddiq berkata di Twitter pengguna boleh menjatuhkan perniagaan “angkuh” seperti mereka mengundi wakil rakyat.

Walaupun, menteri itu tidak menyebut nama syarikat terbabit, beliau sebelum ini mengadakan pertemuan dengan penghantar makanan Foodpanda yang mendakwa syarikat itu tidak berlaku adil dalam skim imbuhan baru.

Penghantar makanan mendakwa skim baru akan menjejaskan pendapatan mereka.

Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan sistem baru akan memberi pendapatan lebih tinggi kepada penghantar makanan berdasarkan penghantaran harian mereka.

Pada malam menjelang mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas, lebih 100 penghantar makanan mengadu nasib kepada Syed Saddiq berhubung skim baharu itu.

Hasil mesyuarat Kabinet, Jemaah Menteri menyarankan Foodpanda supaya kembali kepada sistem pembayaran yang lama.

Jemaah Menteri juga mengarahkan sebuah jawatankuasa dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji kedudukan dan masa depan ekonomi gig di Malaysia. – 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen