3 daripada 1,095 tolak tawaran Kampong Bharu, kata sumber


Chan Kok Leong

Pemilik tanah ditawarkan empat jenis pampasan; wang tunai, unit siap, kombinasi wang tunai dan unit siap atau saham SPV yang akan membangunkan tanah di Kampong Bharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

HANYA tiga daripada 1,095 jawapan balas yang diterima menolak tawaran kerajaan untuk membeli tanah mereka di Kampong Bharu, kata sumber kerajaan.

Menurut sumber itu, 1,061 (96.9%) responden bersetuju dengan tawaran kerajaan sebanyak RM850 sekaki persegi manakala hanya tiga menolak tawaran itu.

Manakala, sebanyak 31 (2.8%) responden disenaraikan sebagai “tidak jelas” dalam jawapan mereka manakala 3 (0.3%) menolak tawaran tersebut.

Maklumat daripada responden dijadualkan sehingga 6 Oktober 2019. Tarikh akhir bagi responden untuk mengembalikan borang mereka kepada Kementerian Wilayah Persekutuan adalah 7 Oktober.

Sumber memberitahu The Insight Malaysia sebanyak 746 (68.1%) responden mahukan pampasan tunai manakala lima ingin pampasan dalam bentuk unit binaan.

Sebanyak 305 (27.9%) responden pula mahu kerajaan membayar pampasan kepada mereka secara tunai dan unit binaan manakala lima lagi meminta saham dalam syarikat pemaju.

Setakat ini, kurang daripada separuh responden menjawab tawaran kerajaan untuk membeli tanah mereka di Kampong Bharu, kata sumber itu.

“Kami memberi kira-kira 2,500 borang kepada pemilik tanah semasa mesyuarat town hall (pada 21 September). Mereka yang tidak hadir diminta memuat turun borang dari laman web kerajaan,” kata sumber itu.

Pada 21 September, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad memberitahu pemilik tanah Kampong Bharu yang kerajaan menawarkan untuk membeli tanah mereka dengan harga RM850 sekaki persegi.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata harga ditawarkan kerajaan berdasarkan penilaian JPPH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2019.

“Ini adalah anggaran tertinggi oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu sahaja,” kata menteri kepada pemilik tanah semasa forum awam.

Pemilik tanah ditawarkan empat jenis pampasan; wang tunai, unit siap, kombinasi wang tunai dan unit siap atau saham syarikat tujuan khas (SPV) yang akan membangunkan tanah itu.

Pada masa ini, terdapat 5,359 penduduk di 850 lot di Kampong Bharu.

Beberapa pemilik tanah memberitahu The Malaysian Insight tawaran itu terlalu rendah dan inginkan kadar RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap kaki persegi.

Sebahagian daripada mereka juga mendakwa sebahagian besar pemilik tanah sudah menolak tawaran kerajaan itu.

Pada Ahad, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tanah Kampong Bharu hanya akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan semula.

“Waktu ini mereka tak boleh buat aktiviti pertanian di situ, tapi mereka tidak ada wang yang cukup nak bangunkan Kampong Bharu, (kawasan itu) nampak macam kudis di tengah bandar Kuala Lumpur yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit.

“Ada rumah lama zink berkarat yang tidak cerminkan kedudukan sebenar orang Melayu,” kata Dr Mahathir di luar acara Kongres Maruah Melayu. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen