KERAJAAN menawarkan untuk membeli tanah Kampong Bharu pada kadar RM850 sekaki persegi, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Khalid berkata, ia adalah kadar tertinggi yang boleh ditawarkan berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
“Penilaian juga dibuat berdasarkan transaksi jualan lot tanah di Kampong Bharu terdahulu,” kata Khalid dalam pertemuan bersama penduduk di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Tambahnya, penilaian itu juga dibuat dengan mengekalkan syarat kepentingan pemilikan oleh orang Melayu sahaja.
Khalid berkata, JPPH mengemukakan penilaian tawaran antara RM650 sehingga RM850 sekaki persegi untuk membeli tanah tersebut.
Selain itu, Khalid berkata, struktur atau bangunan di atas tanah juga akan turut dinilai bagi tujuan pulangan kepada pemilik atau pewaris.
“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah tersebut,” katanya lagi.
Pemilik juga boleh menerima pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).
“Asas kerajaan adalah penilaian JPPH, kalau nak dilakukan secara persendirian, penilaian lain daripada pihak ketiga tiada masalah.
“Niat kerajaan bukan nak menipu. Itu sebabnya kita buat secara telus, harganya dan apa kita nak buat. Kita memang nak buat yang terbaik.
“Walaupun nilai antara RM650 hingga RM850 sekaki persegi, kita tak ambil nilai yang paling rendah,” kata Khalid.
Tambahnya, harga berkenaan masih boleh dirunding dan tidak menolak kemungkinan harga ditawarkan itu akan meningkat.
Beliau akan mengadakan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir berhubung harga tawaran tersebut, katanya.
Sebahagian besar penduduk dilaporkan sudah bersetuju membangunkan semula kawasan berkenaan berdasarkan draf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru.
Khalid pada April lalu berkata pembelian tanah tersebut bagi memastikan pembangunan semula lebih teratur dan menyeluruh di kawasan segi tiga emas itu. – 21 September, 2019.
Komen