Ketirisan projek kerajaan jejas pembangunan ekonomi Bumiputera


BUKU Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) merumuskan pelaksanaan agenda Bumiputera masih tidak dapat dicapai kerana dibelenggu dengan amalan kleptokrasi, nepotisme, kronisme, rasuah serta pemesongan pengagihan dalam rantaian bekalan.

Menurut buku itu, amalan rasuah di Malaysia berada pada tahap kritikal apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) meletakkan Malaysia di tangga ke-61 daripada 180 negara pada 2018 berbanding di tangga ke-39 daripada 145 negara pada 2004.

Dapatan daripada kaji selidik Barometer Rasuah Global 2017 juga mendapati 60% rakyat Malaysia berpandangan bahawa tahap rasuah meningkat, 57% menganggap polis terlibat dalam rasuah, 48% mendakwa ahli-ahli majlis, pegawai cukai terlibat dalam rasuah dan 46% berpandangan eksekutif syarikat terlibat dalam rasuah.

Kajian terhadap perolehan kerajaan yang dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa berlaku ketirisan dalam agihan nilai kontrak yang diterima oleh kontraktor Bumiputera.

Menurut buku itu, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur, hari ini, ketirisan dan pengagihan projek itu telah menjejaskan pencapaian matlamat pembangunan ekonomi dan tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada rantaian bekalan kontraktor Bumiputera.

“Mengikut anggaran pada 2015, daripada RM1.1 trilion jumlah perolehan kerajaan selama 20 tahun, sebahagian besar dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera.

“Bagaimanapun, sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah, iaitu kurang daripada 9%,” demikian menurut buku itu. – Bernama, 5 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bumiputeralisma bagai pisau yang berdua bilah, ia melukakan orang lain juga meluka orang sendiri. Masa dah sampai biar kita tidak lagi memaklumkan idioloji yang sempit ini dan tidak membawa kebaikan yang diingini.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan