Si Bongkok dan Joker


Daniyal Kadir

APAKAH manusia lahir dengan pengisian sebuah kejahatan atau kita dibentuk dengan kebaikan namun ada sesuatu yang mencorakkan kita menerima dan memeluk kejahatan?

Ini sebuah persoalan klasik yang telah dibincangkan ramai sarjana dan ahli falsafah terkemuka – Hobbes, Rousseau, Kant dan ramai lagi. Konsep kejahatan itu sendiri menjadi antara fokus penting dalam melihat perilaku manusia.

Malah sarjana dan ahli falsafah sendiri terbahagi-bahagi pandangan mereka tentang perkara ini. Ada yang melihat dari sudut kuasa teragung Pencipta dan ada pula yang menelitinya dari sudut pandang sekular.

Dalam filem pula terdapat ramai pembikin filem yang memberikan tumpuan terhadap perbincangan berkaitan konsep kejahatan ini. P. Ramlee dalam filemnya Sumpah Orang Minyak berjaya mengangkat perbincangan ini ke tahap lebih baik.

Kita melihat bagaimana beliau membicarakan soal masyarakat cantik yang selalu sahaja membuli dan memperkecil golongan yang tidak berkemampuan.

Ini persoalan besar yang melihatkan bagaimana beliau mencerminkan manusia itu pada asasnya ciptaan yang pure atau dalam analogi tipikal seperti kain putih, maka pergelutan dalam masyarakat dan pertentangan dalam kelas mengubah rupa dan bentuk manusia.

Seperti watak Si Bongkok yang kelihatan suci pada awalnya, berubah menjadi lebih buruk dan jahat di penghujung.

Kadangkala kita boleh bersimpati pada Si Bongkok kerana apa yang mengubahnya sudah tentu bukan dirinya sendiri. Si Bongkok berubah kerana desakan dan penindasan masyarakat.

Perbincangan ini memiliki premis yang sama dengan filem terkini Todd Phillips, Joker.

Kita melihat bagaimana tekanan perasaan yang sedia ada dalam diri karakter Joker itu menghasilkan letupan emosi luar jangkaan akibat tekanan berterusan masyarakat yang tidak pernah membantu apa-apa.

Seperti Si Bongkok, Joker ialah produk masyarakat gagal, ia sebuah refleksi bagaimana rupa sebuah masyarakat apabila segala-galanya tidak berfungsi dengan betul.

Di Gotham, sepanjang cerita kita tidak pernah didedahkan dengan apa-apa yang molek di sana. Segala-galanya suram, berita-berita di televisyen semuanya tentang masalah demi masalah.

Ia menarik perhatian kita bahawa sistem masyarakat di sini sedang tergendala, tidak berfungsi dengan betul. Wujud krisis kepercayaan dan golongan terpinggir seperti Joker tidak mendapat apa-apa perhatian serta sokongan.

Begitu juga dalam Sumpah Orang Minyak, tiada sokongan penting buat Si Bongkok, malah yang ada untuknya hanya Bang Selamat dan Afidah. Ia memberikan kesan besar kepada psikologi Si Bongkok yang terus merendah diri, tiada keyakinan untuk meneruskan hidup, malah menggelarkan diri sendiri sebagai binatang.

Ada satu babak dalam Sumpah Orang Minyak (babak ini sudah dipotong untuk tayangan umum), Si Bongkok mempersoalkan dengan jelas sifat-sifat ketuhanan dan dia merasakan dirinya tidak merasai apa-apa yang selalu disebutkan sebagai Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Pengasih dan Penyayang).

Ketika di kubur orang tuanya, Si Bongkok berkata:

“Mengapakah dikau membisu? Mengapakah dikau membisu?!”

Mengapa tidak bangun menolong kepadaku?!

Bangunlah segera dikau manusia durjana?!”

“Bangunlah dikau! Bangun! Bangun!” (Sambil Si Bongkok menendang-nendang kubur orang tuanya).

“Dosa yang kau lakukan, mengapa aku menerima akibat?”

“Ya Tuhanku, inikah keadilan? Inikah keadilan?!”

“Mengapa kau ciptakan darjatku seburuk ini? Mengapa kau tuliskan nasibku sehina ini? Mengapa?”

Babak ini menjadi penggerak penting kepada Sumpah Orang Minyak dan ia mengungkapkan seluruh perasaan yang terkandung dalam hati Si Bongkok.

Seperti juga Joker, Si Bongkok melalui kehidupan lampau yang sangat menekan, memberikan bekas yang menjejaskan kesejahteraannya sebagai manusia, lantas akhirnya dilihat pelik dan kemudian dibuli orang-orang yang kelihatan sempurna.

Perlahan-lahan, segala dendam yang tersimpan ini sudah tidak mampu ditahan lagi, ia meletup dan mengubahnya daripada seseorang yang kelihatan lemah, membiarkan diri dan tidak mampu melawan kepada rupa kejahatan tak terbendung dan tak terlawan.

Sama juga halnya dengan Si Bongkok, apabila diberikan kesempatan untuk menjadi manusia cantik, maka sifat-sifat buruk meresap dalam dirinya, lantas mengubah Si Bongkok yang kita kenali pada awal cerita menjadi watak yang jahat memenuhi kehendak sendiri semata-mata.

Masyarakat ialah ruang terpenting membentuk keperibadian manusia, ia wajar datang dengan sistem sokongan yang menyeluruh, tidak mementingkan diri dan memiliki simpati dan empati.

Namun dalam sistem dunia yang kian kompleks, interaksi yang semakin rencam dengan kepesatan teknologi dan masyarakat yang semakin menjaga diri sendiri sahaja, adakah kita bakal melahirkan lebih ramai Joker dan Si Bongkok?

Sesungguhnya kejahatan menetas dari telur-telur yang dieram di bawah punggung kita.– 5 Oktober, 2019.

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen