KEMENTERIAN Pendidikan berharap tiada lagi penangguhan dan dapat menerima laporan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menjelang akhir bulan ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian mengambil maklum proses menyiapkan laporan itu tinggal lagi 20% untuk siap, seperti kata pengerusi pasukan petugas Eddin Khoo dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
“Kementerian juga mengambil maklum bahawa laporan dijangka siap menjelang akhir Oktober 2019.
“Oleh demikian, adalah diharapkan tiada lagi penangguhan selepas ini,” kata kenyataan itu.
Kementerian juga berharap laporan itu dapat disegerakan untuk dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.
Pasukan petugas tiga anggota ini dibentuk atas arahan Jemaah Menteri pada akhir Oktober 2018 dengan mandat menyiapkan laporan mengenai UEC dan rumusannya kepada Kementerian Pendidikan dalam tempoh enam bulan.
Laporan ini sepatutnya diserahkan pada akhir Ogos, tetapi dilanjutkan sehingga akhir September.
Minggu ini, Eddin meminta lanjutan masa sehingga akhir Oktober kerana mahu mendapatkan pandangan ahli Parlimen yang dijangka dapat diatur pada 16 Oktober ini.
Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.
Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Eddin juga berharap pihaknya dapat menemubual bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Eddin, Najib cukup berpengaruh kepada sistem pendidikan kebangsaan, semasa beliau jadi menteri pendidikan.
Semasa jadi menteri pendidikan antara 1995 dan 2000, Najib menggalakkan universiti awam menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di luar negara.
Di bawah pentadbirannya juga, kerajaan memperkenalkan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang membenarkan universiti asing menubuhkan cawangan di negara ini, sekali gus membuka peluang pendidikan lebih luas kepada rakyat dan cuba menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau.
UEC, yang diperjuangkan pengiktirafannya oleh badan pendidikan Cina sejak 1970-an, kemudian diiktiraf sebagai syarat kelayakan masuk ke universiti swasta di Malaysia pada 2004.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu berjanji akan mengiktiraf UEC, sama seperti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional.
Enam bulan selepas menang pilihan raya umum, Putrajaya membentuk pasukan petugas ini untuk membantunya membuat keputusan dengan beberapa syarat umum yang sama.
Minggu lalu, Sabah menjadi negeri kelima mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan sektor awam di negeri itu.
Selain Sabah, negeri lain yang mengiktiraf UEC ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, dan Sarawak. – 4 Oktober, 2019.
Komen