Kempen ‘Buy Muslim First’ jejas keharmonian rakyat, kata peniaga Cina


Khoo Gek San

Walaupun kempen "Buy Muslim First" giat dijalankan namun masih ada pelanggan Melayu yang membeli barangan di kedai Cina, kata persatuan peniaga Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2019.

PENIAGA Cina menafikan perniagaan mereka telah merosot sehingga 50% sejak kempen “Buy Muslim First” bermula namun mereka memberi amaran bahawa hubungan yang harmoni antara rakyat Malaysia boleh terjejas sekiranya kempen itu diteruskan.

Wakil peniaga Cina memberitahu The Malaysian Insight yang kempen itu mendatangkan kebimbangan mereka dan mahu kerajaan campur tangan dengan segera.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata beliau ada mendengar beberapa rakan Muslim menyebut mengenai kempen itu tetapi tidak menerima apa-apa aduan daripada ahli persatuan yang menunjukkan tidak ada kesan yang berlaku terhadap perniagaaan mereka.

“Kami ada mendengar mengenai kempen itu tetapi kenapa masih ada lagi umat Islam yang berkunjung ke kedai bukan Islam?

“Ini membuktikan keadaan itu tidak begitu buruk seperti yang didakwa dan mereka yang berada di belakang kempen itu adalah minoriti yang menghasut orang Islam untuk mendapat keuntungan politik. Ia sangat tidak bertanggungjawab.

“Malah kumpulan yang memulakan kempen itu telah menjelaskan perkara berkenaan, jadi jangan lagi politikkan hal itu. Jika tidak, pasaran akan jadi huru hara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya tuduhan kumpulan hak asasi Ummah bahawa hasil jualan perniagaan kaum Cina telah merosot sebanyak 50% adalah tidak benar kerana beliau tidak menerima apa-apa aduan berkenaan hal itu dan pelanggan Melayu juga dilihat masih pergi ke kedai milik kaum Cina.

“Saya baru pulang dari perjumpaan di Melaka. Di sana tidak ada aduan daripada peniaga Cina (berkenaan perniagaan merosot).

“Perniagaan mereka berjalan seperti biasa terutama bagi mereka yang mempunyai kedai runcit di kawasan Melayu,” katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Yow Boon Choon dan Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Perniagaan Kecil Pulau Pinang dan Seberang Perai Lam Tong Ying juga mengakui perniagaan mereka masih berjalan lancar.

Difahamkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang memulakan kempen untuk menyokong membeli barangan produk Muslim bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam masyarakat dan memberikan pengguna lebih banyak pilihan ketika memilih produk. – 5 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Siapa itu WAKIL PENIAGA CINA... sila tunjuk nama... Ada kah ini orang betul betul tahu the Inside News atau dia itu satu Imaginary figure

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Jeffrey Ng · Ulasan