Johor Berkemajuan: tayangan opera klasik Khaled Nordin


Mahdzir Ibrahim

SAYA mengambil data ini kerana ia adalah refleksi secara langsung tentang keadaan rakyat. Siapa yang tak makan ikan? Mungkin hanya vegetarian, tetapi umumnya, semua rakyat memerlukan protein dari hasil laut.

Johor mempunyai dua kawasan laut iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan dan terdapat lagi Selat Johor serta selatan perairan Pengerang. Inilah kelebihan geografi Johor berbanding negeri-negeri lain.

Jadual ini jelas memberitahu kita senario yang sedang berlaku di Johor yang mana pendaratan sumber marin setiap tahun semakin menurun. Kekurangan ikan ini pula akan menyebabkan import ikan semakin bertambah, yakni kita akan terus bergantung dengan hasil import. Kos import ini dizahirkan pada harga ikan di pasaran yang semakin tinggi Inilah kos yang perlu ditanggung oleh rakyat Johor.

Untuk dapat harga lebih murah, mungkin ikan-ikan yang tidak berkualiti atau ikan “tamat tempoh”. Malah, kekurangan hasil tangkapan kita juga akan memberi kesan ke atas hasil eksport kita ke luar negara seperti Singapura, yang juga pastinya merosot.

Apa puncanya?

Soal mengapa hasil tangkapan tidak meningkat sebaliknya merosot, pastinya disebabkan banyak faktor. Faktor paling ketara adalah saiz kawasan tangkapan ikan di Johor semakin mengecil dan pupus.

Mengapa pula saiz kawasan tangkapan mengecil dan pupus? Ini sudah pastilah disebabkan pembangunan mega yang tidak berhati-hati dan tidak sistematik yang berlaku di kawasan-kawasan sensitif hidupan marin di kawasan Pengerang dan Tanjung Piai serta Selat Johor.

Jika kita tanya kepada nelayan mengapa hasil tangkapan merosot? Rata-rata nelayan akan kata, ikan sudah lari ke tengah laut di perairan antarabangsa. Ada nelayan yang terdesak, mereka pergi hingga ke seberang sempadan Indonesia, kalau sangkut dengan penguatkuasa Indonesia, nasiblah.

Pemulihan biologi marin di kawasan-kawasan sensitif yang terjejas ini boleh mengambil masa hingga 30 tahun. Untuk sampai ke tempoh itu, kita tidak tahu berapa ramai lagi nelayan yang tinggal untuk menangkap ikan.

Perlu juga kita sedari bahawa kebanyakan nelayan di Johor adalah nelayan pantai tradisional berbanding di Pahang dan Perak, yang menggunakan bot besar jenis pukat tunda dengan teknologi penangkapan ikan.

Petunjuk BR1M

BR1M yang dibangga-banggakan oleh Barisan Nasional (BN) juga memberitahu kita cerita sebenar tentang ekonomi rakyat Johor. Setiap tahun, sejak 2014 hingga 2016, jumlah penerima BR1M terus meningkat di Johor, 798,000 pada 2014; 848,722 pada 2015 hinggalah 889,636 pada 2016.

Ini petunjuk yang tidak baik kerana ia menjelaskan bahawa dasar-dasar ekonomi kerajaan BN Johor masih gagal memulihkan ekonomi dan pendapatan rakyat.

Khaled hanya berani menjual angka kadar miskin Johor yang telah sifar. Mereka yang kini bukan lagi asnaf, bukannya berubah menjadi kaya, sebaliknya golongan B40 semakin bertambah. Ini kesilapan silap mata Khaled.

Kerajaan BN Johor bangga dengan slogan “Johor Berkemajuan”, tetapi data-data ini menceritakan sebaliknya. Hingga kini, kerajaan Khaled hanya mampu memberi sedikit “gula-gula” berupa wang ehsan kepada nelayan setiap kali sambutan hari raya menjelang tiba atau ketika musim anak-anak mahu kembali ke sekolah.

Namun, pelan komprehensif untuk mengekalkan daya saing produk marin masih tidak ada, baik produktiviti mahupun pendapatan nelayan.

Khaled mengatakan DAP Johor tiada pelan pembangunan. Iyalah, kami belum berkuasa lagi, segala kritikan boleh dilemparkan. Tetapi Khaled yang sudah berkuasa sejak sekian lama di Johor, buat apa?

“Johor Berkemajuan” ini hanyalah pentas opera Khaled selepas gimik-gimik politiknya di serata negeri Johor. Kita nantikan “soap opera” apa pula yang akan dipentaskan selepas ini.

Matlamat DAP Johor jelas, kita akan menjadikan Johor lebih berdaya saing tanpa bergantung dengan kerajaan pusat seperti pergantungan Khaled Nordin kepada Najib Razak. – 16 Oktober, 2017.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen