Penyerang masjid Christchurch batal permohonan alih lokasi perbicaraan


Masjid Al Noor Masjid adalah satu daripada dua masjid yang menjadi lokasi serangan maut pada Mac lalu. – Gambar EPA, 3 Oktober, 2019.

LELAKI yang dituduh membunuh 51 jemaah Islam dalam serangan masjid di New Zealand pada Khamis menggugurkan permohonan untuk memindahkan lokasi perbicaraannya dari bandar tempat berlakunya kejadian pembunuhan.

Mahkamah Tinggi mengadakan pendengan pra-perbicaraan di Christchurch untuk mempertimbangkan permohonan Brenton Tarrant untuk mengalihkan tempat perbicaraan dari bandar Pulau Selatan itu.

Bagaimanapun, Hakim Cameron Mander mengumumkan pada permulaan prosiding yang pihak peguambela memutuskan untuk tidak meneruskan permohonan itu, yang dibuat pada Ogos.

Tiada alasan diberikan bagi keputusan itu.

Warga Australia berusia 28 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh, dan terlibat dalam perbuatan pengganas.

Perbicaraannya akan bermula pada 2 Jun tahun depan di Christchurch.

Bandar Pulau Selatan adalah tempat kejadian menembak paling buruk dalam sejarah New Zealand moden pada 15 Mac, apabila Tarrant didakwa melepaskan tembakan di dua masjid dan menyiarkannya secara langsung di media sosial.

Tarrant, seorang pelampau berkulit putih, muncul pada pendengaran Khamis secara audio-visual dari penjara dengan keselamatan maksimum di Auckland, walaupun media dihalang daripada merakam atau mengambil gambarnya. – AFP, 3 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen