Maaf, surat suspek tragedi masjid Christchurch terlepas


Kebenaran menghantar emel yang diberikan kepada Brenton Tarrant, suspek insiden tembakan di masjid Christchurch digantung seketika sementara ia dikaji semula. – Gambar AFP, 15 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa di New Zealand memohon maaf selepas suspek utama insiden tembakan di dua masjid Christchurch dibenarkan menghantar surat dari penjara, dengan kandungannya berunsur kebencian dan dikongsi penyokong di Internet.

Brenton Tarrant, seorang warga Australia kini ditahan di penjara dengan kawalan keselamatan paling maksimum di Auckland sementara menanti dibicarakan atas kesalahan membunuh 51 jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat, dalam insiden tembakan rambang terburuk dalam sejarah moden New Zealand.

Walaupun kerajaan berjanji menyekat Tarrant dari menyebarkan sebarang ucapan kebencian, pegawai penjara berkata suspek dibenarkan menghantar emel dari sel penjara.

Satu daripada surat pelampau kulit putih itu dihantar kepada seorang lelaki Rusia dikenali sebagai Alan dan disiarkan di laman web 4Chan.

Ditulis dengan huruf besar gaya kebudak-budakan, nota enam muka surat itu menceritakan mengenai lawatan Tarrant ke Rusia pada 2015 dan kekaguman suspek terhadap fasis British, Oswald Mosley .

Perdana Menteri Jacinda Ardern yang sebelum ini berjanji tidak mahu menyebut nama Tarrant amat marah apabila surat itu berjaya melepasi sistem tapisan jabatan penjara.

“Jabatan penjara sendiri mengakui kesilapan ini. Individu terbabit tidak seharusnya dibenarkan berkongsi pesanan kebencian dari pintu penjara,” katanya kepada wartawan di Tuvalu ketika menghadiri sidang kemuncak serantau.

Ketua Eksekutif Jabatan Penjara Christine Stevenson berkata, surat itu tidak sepatutnya dihantar.

“Saya meminta maaf kerana perkara ini mendatangkan tekanan kepada semua pihak yang terbabit dalam tragedi 15 Mac,” katanya.

Stevenson berkata kebenaran menghantar emel yang diberikan kepada Tarrant digantung seketika sementara ia dikaji semula. – AFP, 15 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen