POLIS mencadangkan sembilan aktivis Sarawak didakwa kerana enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam satu majlis makan malam di Kuching, baru-baru ini.
Cadangan itu dikemukakan dalam laporan siasatan polis yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, kata Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid.
Katanya, kertas siasatan itu dilengkapkan selepas pihak polis di Sarawak mengambil keterangan daripada mereka yang terlibat.
“Siasatan kes dilakukan mengikut disiasat mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan ia telah selesai.
“Kertas siasatan berhubung kes ini dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Mereka yang berumur antara 34 dan 64 tahun itu disiasat mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968, yang membawa hukuman denda RM100 atau penjara sebulan jika sabit kesalahan.
Jurucakap kumpulan Sarawak For Sarawakians (S4S), Alex Leong sebelum ini berkata mereka sengaja tidak berdiri semasa lagu Negaraku dimainkan sebagai protes senyap terhadap dasar Putrajaya yang disifatkan tidak adil untuk Sarawak.
“Siasatan polis tidak mengambil kira apa jua alasan yang dibuat kerana undang-undang telah tetapkan yang jika lagu Negaraku dimainkan, warga Malaysia perlu beri penghormatan dan berdiri,” kata Mior.
Tindakan aktivis Sarawak itu jadi perhatian selepas rakaman video mereka tular di media sosial beberapa hari lalu.
Sarawak membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura pada 1963, melalui satu perjanjian yang menggariskan hak dan tanggungjawab semua wilayah. Singapura dikeluarkan dari persekutuan dua tahun kemudian.
Persekutuan baharu itu mengekalkan Negaraku, lagu kebangsaan Malaya sejak merdeka pada 1957.
Isu hak Sarawak, serta Sabah, adalah isu hangat dalam soal hubungan wilayah itu dengan Putrajaya terutamanya tuntutan royalti minyak dan pelbagai hak lain yang dijamin dalam Perjanjian Malaysia 1963. – 2 Oktober, 2019.
Komen