AKTIVIS Sarawak 4 Sarawak (S4S) berkata pihaknya tidak akan memainkan lagu kebangsaan pada mana-mana acara umum mereka, ketika polis hari ini menyiasat tujuh anggota mereka yang tidak berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang pada satu program kutipan dana minggu lalu.
“Ia adalah protes senyap terhadap Putrajaya kerana dasar tidak adil mereka kepada Sarawak,” kata Alex Leong selepas memberi kenyataan kepada polis hari ini.
Leong merupakan individu yang memuat naik video bantahannya di Facebook sebelum ia tular dan membawa kepada laporan polis dibuat terhadap bantahan itu.
Video berkenaan turut dikongsikan di platform media sosial lain.
Leong berkata, selagi ketidakadilan Putrajaya berterusan, akan ada orang yang tidak akan menghormati lagu kebangsaan.
Katanya, hari ini mungkin hanya tujuh daripada mereka yang menunjukkan bantahan.
“Di masa akan datang 100, 200 atau 2,000 orang tidak akan berdiri.”
Ditanya sama ada beliau akan teruskan untuk tidak menghormati lagu kebangsaan pada masa akan datang, Leong berkata ia terpulang kepada apa yang dilakukan oleh Putrajaya.
“Kami sangat kecewa dan marah.”
Leong berkata, kekecewaan dan marah itu adalah berlaku berikutan kegagalan untuk mengiktiraf Perjanjian Malaysia 1963 dalam percubaan baru-baru ini yang gagal untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sehinggalah kegagalan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk melindungi perairan wilayah Sarawak daripada pencerobohan China.
“Mereka (Putrajaya) mengambil hasil minyak dan gas kami dan mereka tidak mampu melindungi negeri ini.”
Leong berkata, protes tu akan dilakukan secara pasif “tidak seperti yang dilakukan rakyat Hong Kong”, katanya merujuk kepada protes ganas di negara itu.
Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dev Kumar dalam satu kenyataan berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan selepas satu laporan dibuat mengenainya di Kuching hari ini.
Menurut beliau, aktivis S4S disiasat di bawah Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 kerana tidak berdiri tanda hormat ketika lagi itu dimainkan.
Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM100 atau penjara sebulan.
Insiden itu berlaku pada 27 September dalam satu majlis makan malam kutipan dana untuk Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).
Namun memandangkan parti itu dibubarkan, ia menjadi majlis makan malam bersama aktivis politik nasional dan Sarawak. – 30 September Ogos, 2019.
Komen