Kami mahu beri pengajaran kepada Pakatan, kata pengundi Cina Tanjung Piai


Khoo Gek San

SPR menetapkan PRK Tanjung Piai pada 16 November dengan hari penamaan calon pada 2 November manakala undian awal ditetapkan pada 12 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.

PENGUNDI Cina di Tanjung Piai, Johor mahu memberi pengajaran kepada Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menghormati janji kempen mereka.

Ramai yang ditemui The Malaysian Insight juga mengadu mengenai isu tempatan yang diabaikan oleh Allahyarham Md Farid Md Rafik, yang memenangi kerusi persekutuan bagi PH dalam pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, yang akan diadakan bulan depan, dibuat ketika kerisauan di kalangan penduduk mengenai isu negara.

Paling utama adalah percubaan kontroversi untuk mengajar Jawi di sekolah vernakular dan pemansuhan hukuman mati, yang banyak ditentang kaum Cina.

Walaupun Kementerian Pendidikan berusaha menunaikan tuntutan mereka yang menentang ajaran Jawi kepada murid Empat Tahun di sekolah tersebut, masalah ini terus diperkatakan di kalangan masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK untuk kerusi itu pada Sabtu 16 November dengan hari penamaan calon pada 2 November manakala undian awal ditetapkan pada 12 November.

Tanjung Piai ialah kerusi campuran dengan pecahan pengundi 57% Melayu, 42% Cina, 1% India dan lain-lain 0.55%.

Kerusi itu dipertandingkan secara tradisional oleh MCA sejak ia diwujudkan pada 2005.

Kerusi yang diwujudkan pada 2003, secara tradisinya ditandingi oleh MCA daripada Barisan Nasional (BN).

Ia kali pertama dimenangi oleh bekas presiden MCA, Ong Ka Ting pada PRU 2004, dengan calon berikutnya Wee Jeck Seng mengekalkan kerusi bagi bekas pakatan itu dalam dua pilihan raya berikutnya.

Selain Bersatu, yang mengesahkan akan mempertahankan Tanjung Piai, Gerakan berkata ia akan bertanding selepas beberapa kali tidak mengambil bahagian dalam PRK selepas keluar daripada BN.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira permintaan akar umbi. Timbalan Presiden Oh Tong Keong dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya parti.

Sementara itu, BN masih menutup mulut sama ada ia akan meletakkan calon daripada Umno atau MCA.

Pecahan kaum Tanjung Piai dan piagam Umno dengan PAS mendorong akar umbi parti utama dalam BN itu menuntut untuk bertanding kerusi itu, manakala MCA berkata ia sepatutnya bertanding demi kepentingan perpaduan BN.

Menggunakan sentimen anti-BN dalam pilihan raya tahun lepas, Farid berjaya merebut kerusi daripada Wee dengan margin tipis sebanyak 524 undi.

Penduduk tempatan berkata mereka jarang melihat Farid, yang juga seorang timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Kampung Pekan Barna, Phang Wee Kiew, 54, berkata keadaan sekarang tidak sesuai untuk PH.

“Aduan di sini adalah ahli Parlimen sebelumnya jarang melawat kawasan pilihan raya. Penduduk tidak faham bagaimana seorang timbalan menteri boleh begitu sibuk. Walaupun PH menjelaskan kepada mereka, sukar untuk mengubah minda pengundi.

“Sudah terlambat untuk memperbetulkannya.”

Walaupun pengundi sekarang mengatakan mereka tidak menyokong BN, beliau berkata mereka mahu Wee kembali.

“Wee memegang kerusi itu selama dua penggal, dan penduduk kampung mengenali beliau. Sekiranya calon bukan Wee, mereka mungkin tidak mengundi juga.”

Beliau berkata lebih 80% pengundi Cina di Tanjung Piai mengundi PH dalam PRU14.

Yeo Tung Siong daripada DAP mengakui kekurangan PH di kerusi itu tetapi berkata ahli majlis tempatannya sedang berusaha menangani isu penduduk.

Beliau berkata mereka sudah berbincang dengan kerajaan Johor mengenai menangani masalah lalu lintas dan membina sebuah pasar baru di Pontian.

“Kami cuba membina jalan raya lingkaran luar di bahagian utara untuk mengurangkan kesesakan trafik, serta menaik taraf bahagian utara bandar raya dan pasar Pontian.

“Kami bekerja keras untuk membangunkan infrastruktur di kawasan itu selama setahun setengah. Kami berharap memperoleh berita baik untuk pengundi tidak lama lagi.” – 14 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen