PILIHAN Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada Sabtu, 16 November ini, umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Manakala penamaan calon ditetapkan pada 2 November, kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.
Azhar juga berkata pengundian awal pula pada 12 November.
Tambah beliau, pendaftaran bagi undi pos luar negara bermula hari ini hingga 31 Oktober.
Azhar membuat pengumuman pada sidang media selepas mesyuarat SPR di Putrajaya, hari ini.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu.

Pada PRU14, Farid menang dengan 524 undi. Beliau mendapat 21,555 undi mengatasi calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng dari MCA yang mendapat 20,731 undi serta calon PAS Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.
Tanjung Piai ialah kerusi campuran dengan pecahan pengundi 57% Melayu, 42% Cina, 1% India dan lain-lain 0.55%.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh BN melalui MCA sejak kawasan pilihan raya itu dibentuk melalui persempadanan semula pada 2003.
Kerusi itu adalah pecahan daripada kawasan Parlimen Pontian, yang ditandingi wakil MCA untuk BN sejak pilihan raya 1986.
Pada Pilihan Raya Umum 2004, Tanjung Piai dimenangi presiden MCA pada ketika itu, Ong Ka Ting, yang sebelum itu mewakili Pontian.
Wee pula bertanding dan menang di Tanjung Piai untuk dua penggal dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, tetapi kalah pada 2018. – 1 Oktober, 2019.
Komen