WAKIL rakyat Pakatan Harapan Selangor merayu kepada pengguna agar memahami penstrukturan semula dasar air percuma negeri sebagai satu langkah mengurangkan program populis dalam usaha menguruskan kewangan negeri terkaya di negara ini.
Di bawah program yang disemak semula, kini dikenali sebagai Skim Air Darul Ehsan, hanya mereka dalam kumpulan B40 atau isi rumah berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, berhak mendapat air percuma, manakala pengguna lain akan dikenakan bayaran nominal bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
Penerima daripada kumpulan B40 juga akan mendapat peningkatan kuantum air percuma kepada 25 meter padu sebulan, umum Menteri Besar Selangor Amirudin Shari baru-baru ini.
Dewan perundangan negeri mengundi untuk menggunapakai skim semakan pada November tahun lepas.
Skim yang disemak semula bermula 1 Mac tahun depan. Pendaftaran bagi mereka yang layak bermula Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang bercakap kepada The Malaysian Insight menggesa pengguna menerima semakan semula berdasarkan keperluan untuk mengelakkan pembaziran dana dan memastikan sasaran subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.
Pengguna juga perlu belajar melihat air sebagai sumber semula jadi berharga yang mesti dilindungi dan dipulihara, terutamanya selepas beberapa kejadian pencemaran dan gangguan bekalan air.
Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran memberitahu The Malaysian Insight, beliau sebelum ini membangkitkan perkara mengenai keperluan memastikan skim air percuma dilaksanakan untuk kumpulan sasaran sahaja.
“Subsidi perlu diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Saya membangkitkan permintaan ini dalam persidangan negeri terdahulu,” katanya.
Rajiv berkata pelarasan itu akan menjimatkan kos yang kemudiannya boleh digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan air.
“Sebagai contoh, menggantikan paip yang kerap pecah dan membaiki takungan yang rosak,” katanya.
Menjangkakan respons negatif daripada konstitusi, beliau menggesa media membantu memahamkan pengguna mengenai hakikat itu supaya rakyat dapat memahami akibat jika kerajaan negeri tidak merasionalisasikan program itu.
“Orang ramai akan menjadi lebih mengecam apabila mereka mengalami gangguan bekalan air,” kata Rajiv.

Adun Teratai Bryan Lai berkata keluarga berpendapatan rendah yang ditemui menghargai penstrukturan semula yang akan memberi mereka lebih 5 meter padu air percuma.
“Saya bersetuju bantuan kerajaan perlu mengehadkannya kepada keluarga berpendapatan rendah. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tinggi tetapi masih dapat menyara keluarga, tidak mendapat 20 meter padu air pertama atau RM11.40 subsidi tidak akan mempunyai banyak kesannya berbanding pendapatan isi rumah di bawah RM4,000,” katanya.
Lai menekankan Selangor tidak menghapuskan dasar air percuma tetapi hanya membuat penyelarasan supaya hanya mereka yang benar-benar miskin akan mendapat manfaat.
“Pelarasan ini akan memberi penjimatan daripada subsidi air tahun depan, dan dana itu boleh disalurkan ke bahagian lain seperti bantuan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.
Adun Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berkata adalah perlu bagi penduduk negeri itu untuk menghentikan pembaziran air.
“Secara puratanya, Selangor adalah pengguna air paling tinggi di Malaysia, dan dasar yang disemak adalah untuk menyedarkan orang ramai bahawa anda tidak mendapat air dengan hanya membuka paip.
“Jika dasar air percuma diteruskan seperti itu, orang akan terbiasa dengannya. Kita perlu menanamkan mentaliti bahawa air merupakan sumber yang berharga,” katanya.
Populasi Selangor semakin bertambah sejak pertama kali dasar dilaksanakan pada 2008 dan subsidi yang dibelanjakan meningkat dua kali ganda, katanya. – 2 Oktober, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen