Penghantar makanan Foodpanda solidariti rakan di luar Lembah Klang


Mastura Malak

Penghantar makanan mengadakan bantahan di luar pejabat Foodpanda di Cheras, Kuala Lumpur hari ini sebagai solidariti kepada rakan sekerja mereka di beberapa negeri lain yang mogok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 30 September, 2019.

LEBIH 100 penghantar makanan Foodpanda mengadakan bantahan di ibu pejabat syarikat aplikasi itu di Kuala Lumpur hari ini sebagai sokongan kepada rakan mereka yang melancarkan mogok di beberapa negeri sejak dua hari lalu.

Mogok itu sebagai membantah sistem pembayaran baharu yang tidak lagi dibuat berasaskan masa tetapi semata-mata jumlah penghantaran. Skim itu berkuatkuasa hari ini.

Mereka membantah kerana mendakwa sistem pembayaran baharu itu bakal menjejaskan pendapatan.

Mohd Amirul Imran, 19, berkata beliau menyertai rakan-rakannya mengadakan bantahan di ibu pejabat Foodpanda di Kuala Lumpur kerana bimbang peraturan sama akan dikenakan terhadap mereka.

“Agak terkilan bila dengar syarikat nak buat sistem baharu. Setahu saya di Pulau Pinang dan Johor, skim pembayaran baharu sudah dilakukan. Jadi bagaimana pula nasib kami di Kuala Lumpur.

“Kami harap mereka mendengar keluhan kami,” katanya yang sudah dua tahun bekerja menghantar makanan untuk Foodpanda.

GALERI: Tulang belakang Foodpanda lancar mogok

Bantahan di luar pejabat Foodpanda di Cheras, Kuala Lumpur bermula 11 pagi dan berakhir 3.30 petang.

Media sebelum ini melaporkan pekerja Foodpanda di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan merancang mogok tiga hari sementara di Pulau Pinang selama seminggu. Mogok sama juga berlangsung di Perak dan Sabah.

Sementara itu, lima wakil penghantar makanan Foodpanda mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap skim pembayaran baharu.

“Mereka beri jaminan skim tersebut tidak akan dilaksanakan di Lembah Klang.

“Bila dengar penjelasan tadi, saya pun rasa puas hati dan lega. Jadi lepas ini saya boleh bekerja seperti biasa tanpa risau,” kata Siddiq Nadarul, salah seorang yang menyertai pertemuan itu.

Pada masa ini, penghantar Foodpanda dibayar RM4 sejam dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, antara RM3 hingga RM5.

Bagaimanapun berkuat kuasa hari ini, Foodpanda menghapuskan bayaran ikut jam dan menggantikannya dengan bayaran ikut pesanan yang lebih tinggi.

Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Sayantan Das dalam satu kenyataan menjelaskan di bawah skim baharu itu, mereka boleh dapat pendapatan lebih tinggi berdasarkan jumlah pesanan yang mereka uruskan.

Beliau memberi contoh mereka yang dapat RM5 bagi setiap pesanan sebelum ini akan mendapat RM7. Mereka juga akan dapat bonus RM100 sebagai insentif melengkapkan 60 jam kerja seminggu.

Menurut Foodpanda, sekiranya penghantar makanan melengkapkan tiga penghantaran sejam dan bekerja 30 jam seminggu, mereka boleh mendapatkan sehingga RM630 setiap minggu.

Di bawah skim baharu ini juga penghantar makanan akan mendapat tambahan RM1 bagi setiap pesanan yang dihantar antara 11 malam dan 9 pagi. – 30 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen