Penghantar makanan, peniaga gerai terpaksa harungi jerebu 


Alfian Z.M. Tahir Ravin Palanisamy

Penghantar makanan Food Panda terpaksa meneruskan penghantaran berikutan pesanan yang semakin meningkat kerana jerebu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 September Ogos, 2019. 

DENGAN keadaan jerebu yang semakin buruk di seluruh negara, penghantar makanan terpaksa meredah situasi itu berikutan orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan memesan makanan untuk dihantar ke rumah mereka.

Penunggang motosikal yang ditemui The Malaysian Insight di pelbagai lokasi di Lembah Klang berkata, tempahan semakin meningkat sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Menurut mereka, sejak masalah jerebu bermula masyarakat mula memilih untuk memesan makanan menerusi aplikasi e-hailing.

“Ramai pelanggan berkata mereka enggan keluar dan lebih memilih untuk tinggal di rumah. Cuaca tidak baik untuk kami, penghantar makanan, kami perlu cari duit, jadi kami tetap bekerja,” Khairul Hisham Rashid yang bekerja untuk Food Panda.

Keadaan jerebu tidak menghalang penghantar makanan memenuhi pesanan pelanggan mereka. .– Gambar The  Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 September Ogos, 2019.

“Pada pendapat saya, terdapat beberapa faktor untuk kenaikan pesanan ini. Satu kerana masalah cuaca, kedua kerana kita baru sahaja meraikan Hari Merdeka, masih ada diskaun untuk makanan jika gunakan khidmat makanan e-hailing,” tambahnya.

Rakan Hisham, Haikal Salim pula berkata, kebanyakan penunggang sanggup bekerja dalam cuaca buruk kerana mereka boeh mendapatan wang lebih daripada penghantaran yag dibuat.

“Untuk pendapatan lebih, kamu kena hantar makanan dan lebih banyak kamu hantar, lebih banyak kamu dapat. Jadi pada kebanyakan penunggang, selagi mereka dapat pendapatan lebih, mereka sanggup bekerja. Kebanyakan kita sedar keadaan yang beri kesan pada kesihatan, jadi kamu akan lihat kebanyakan dari kami akan memakai topeng.

“Pada hari biasa, tidak banyak penunggang kerana majoriti mereka ada kerja tetap namun pada hujung minggu, bilangan mereka akan bertambah, ditambah pula dengan pesanan yang makin banyak. Jadi terdapat persaingan sihat antara kami,” katanya yang membuat kerja sampingan dengan Food Panda.

Kedua-dua mereka berkata, mereka mampu mendapat pendapatan lebih dengan membuat lebih 10 penghantaran sehari.

Operasi perniagaan berjalan seperti biasa walaupun keadaan jerebu semakin teruk di negara ini..– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 September Ogos, 2019.

“Macam yang saya katakan, pada hari biasa, jumlah penunggang tidak ramai, jadi kami boleh buat duit. Orang masih nak pesan daripada keluar.

“Tapi pada hujung minggu, penunggang masih boleh buat duit. Sabtu lepas saya buat 22 penghantaran dan ianya banyak walaupun ramai penunggang lain. Ia menunjukkan orang ramai enggan keluar pada cuaca begini,” kata Haikal.

The Malaysian Insight mendapati beberapa penunggang dari Food Panda dan Grab Food menunggu di luar premis makanan segera terkenal seperti McDonalds dan KFC di Shah Alam dan Setia Alam.

Tidak kurang juga yang duduk di kedai mamak atau gerai makanan untuk menunggu pesanan.

Keadaan cuaca yang buruk berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Sarawak sudah mencatatkan bacaan IPU “tidak sihat”.

Di Petaling Jaya, Selangor, IPU dicatatkan pada 139, Shah Alam (143), Klang (134) dan Banting (130).

Di Batu Muda, Kuala Lumpur IPU dicatatkan pada 132 dan Cheras (137). Putrajaya mencatatkan bacaan 152.

Peniaga gerai turut terjejas 

Pengendali gerai makanan di Cheras memberitahu The Malaysian Insight, perniagaan mereka semakin menurun berikutan keadaan jerebu.

Peniaga Siti Mariam Zakaria berkata, perniagaannya menurun sehingga 40% sejak masalah itu bermula.

“Ia sangat teruk, cuaca pun teruk, perniagaan pun teruk juga. Saya rasa ramai yang tak sanggup keluar. Malah saya sendiri pun rasa tidak selesa namun kerja tetap kena buat. Jika kamu tak kerja macam mana nak dapat duit?

Peniaga gerai Siti Mariam Zakaria berkata perniagaannya agak menurun sejak keadaan jerebu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 September Ogos, 2019.

“Diharap keadaan akan pulih tak lama lagi. Buat masa ini orang ramai nak duduk di rumah saja dan pesan makanan melalui aplikasi telefon,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Mustafa Abdul Razak turut senada dengan Mariam. 

“Sabtu lepas, keluarga saya pun tak nak keluar dan kami pesan makanan melalui khidmat penghantaran makanan. Macam yang kamu dapat lihat keadaan kurang baik. Siapa yang nak datang dan beli namun kami terpaksa harung udara tidak sihat sebab kami perlukan duit,” kata Mustafa.

Sementara itu, peniaga Anish Musam, lebih bernasib baik kerana masih menerima tempahan daripada pelanggan tetapnya.

“Alhamdulillah, saya masih mampu jana pendapatan walaupun cuaca teruk. Pelanggan saya adalah dari pejabat berdekatan,” katanya yang menjual nasi ayam.

Sementara itu, restoran Dinner in The Sky (DITS) di Kuala Lumpur, yang terkenal dalam menghidangkan makanan dengan pemandangan indah bandar raya turut menyatakan jerebu menjejaskan perniagaan mereka dan mereka telah merancang langkah pencegahan awal untuk pelanggan.

“Oleh kerana sesi makan malam kita pada waktu senja, pemandangan masih tidak jelas namun kami sedia bekalkan pelanggan kami dengan topeng muka sama ada esok atau Jumaat,” kata eksekutif pemasaran DITS Ain Qurina.

Peniaga gerai Muthu Lingam yang menjalankan perniagaan di Brickfields, Kuala Lumpur berkata, beliau tidak sedar jumlah pelanggan menurun kerana jerebu.

Beliau yang berusia 47 tahun itu berkata, beiau pernah melihat yang lebih buruk sebelum ini.

Muthu berkata, beliau masih menerima pelanggan yang datang dan makan di gerainya setiap hari, dan menambah tidak ramai yang mampu pesan makanan melalui Grad Food atau Food Panda.

“Saya tidak rasa cuaca di KL seburuk yang dilaporkan. Saya pernah lihat yang lebih teruk daripada ini, yang mana jarak pemandangan sangat terhad,” tambahnya.– 12 September Ogos, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen