Wan Ji akan dibebaskan hari ini, kata peguam


PENDAKWAH Wan Ji Wan Hussin, yang ditangkap pada Jumaat, dijangka dibebaskan hari ini selepas mahkamah menolak permohonan polis menyambung reman selama 3 hari berhubung siasatan kes di bawah Akta Hasutan kerana disyaki menghina sultan, kata peguamnya.

“Majistret menolak permohonan polis untuk menyambung tempoh reman Wan Ji selama tiga hari. Wan Ji akan dibebaskan hari ini,” kata sekretariat Pemuda PKR dalam satu kenyataan yang diperolehi daripada peguamnya, Saiful Izham Ramli dan Zulhazmi Shariff.

Saiful ketika dihubungi The Malaysian Insight turut memberitahu beliau sedang menguruskan soal pembebasan dengan jaminan polis.

Wan Ji ditahan oleh polis di Pulau Pinang pada Jumaat lalu dan dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan ke atas laporan yang mendakwa beliau menghina institusi diraja Melayu.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun sebelum itu mengesahkan Wan Ji ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana disyaki menghina sultan.

Fuzi juga dilaporkan berkata tindakan diambil berdasarkan beberapa laporan yang dibuat dan polis sebelum ini tidak dapat mengesan Wan Ji.

Sebelum ini pernah tersebar rakaman video pada 2013 yang menunjukkan Wan Ji, yang juga ketua Biro Agama Pemuda PKR, memberi satu kuliah yang menyentuh kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem pentadbiran negara.

Wan Ji turut pernah didakwa di mahkamah pada Oktober 2014 ekoran satu kenyataan di Facebook yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau kemudian mengemukakan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan undang-undang itu di sisi Perlembagaan Persekutuan. Kesnya dilaporkan masih dalam perbicaraan.

Siasatan terhadap Wan Ji secara kebetulan dibuat pada minggu yang sama apabila pihak berkuasa menyiasat pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, juga di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung kenyataannya dalam sebuah kuliah di Shah Alam yang dikatakan mengecam Sultan Johor. – 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen