Jangan roboh pawagam kami


Daniyal Kadir

PAWAGAM di Malaysia melalui era perkembangan menyeluruh mengikut zaman dan kepesatan teknologi.

Bangunan pawagam dahulunya tersergam secara bersendiri, berbanding kini yang terkandung di dalam perut-perut kompleks membeli-belah.

Secara strategiknya, menempatkan pawagam di dalam kompleks membeli-belah mungkin langkah menguntungkan dari sudut wang dan modal.

Ini kerana kompleks membeli-belah menjadi ruang menghimpunkan para pembeli dan mereka yang membawa wang.

Sudah tentu ini akan memberi kesan baik kepada pawagam itu sendiri. Ia memudahkan orang ramai untuk pergi menonton kerana ia sudah terangkum bersekali dengan konsumerisme yang dibawakan oleh kompleks membeli-belah.

Berbanding sebelum 2000, pawagam berdiri atas bangunannya sendiri. Ini dilihat penting kerana seni bina pawagam itu sendiri, membawa estetika sinema yang besar dan mendalam.

Melihat bangunan pawagam memberikan kita pengertian tentang bagaimana masyarakat dan penonton menghargai filem yang ada.

Bayangkan dari dalam bas atau kereta kita boleh melihat poster filem yang terpampang pada bangunan pawagam.

Berbanding sekarang, kita hanya boleh melihat poster filem apabila masuk ke dalam kompleks membeli-belah.

Bangunan pawagam juga menjadi tanda kepada memori kita tentang filem yang kita pernah tonton.

Seperti yang pernah disebutkan dalam tulisan sebelum ini, di kampung saya di Kuala Kangsar dahulu, saya pernah melalui pengalaman melihat pawagam menjadi tarikan penting kepada masyarakat, sama ada untuk berhibur, melepaskan lelah, menonton bintang kesayangan atau menikmati seni dalam filem.

Pawagam Kapitol dan Rex merupakan dua nama gah yang muncul ketika saya kanak-kanak dan awal remaja.

Namun desakan cetak rompak melalui VCD menyebabkan pawagam tidak lagi menerima sambutan, lantas ditutup.

Cetak rompak merupakan salah satu sebab, ada pelbagai sebab lain lagi termasuk pengurusan pawagam dan modal pemilik yang kian mengecil.

Apa jadi dengan Kapitol dan Rex di Kuala Kangsar sekarang? Kapitol sudah menjadi pusat snuker (tidak pasti sama ada pusat snuker itu masih beroperasi atau tidak) dan di sebelah pagi orang ramai menikmati roti canai di perkarangannya.

Rex pula sudah hilang jejak kerana tapaknya sudah digantikan dengan bangunan kedai.

Begitulah pemahaman singkat kita tentang bagaimana mahu memelihara khazanah filem dan menghidupkan apreasiasi terhadapnya.

Kita gagal memahami dengan jelas maksud dan tujuan sebuah bangunan pawagam. Kita hanya mentafsirkannya sebagai salah satu bangunan biasa semata-mata, sedangkan bangunan pawagam ialah tunjang kepada pergerakan seni filem itu sendiri.

Baru-baru ini kita terdengar pula kita bangunan pawagam paling banyak berjasa di Kuala Lumpur, Odeon bakal dirobohkan.

Odeon yang terletak di antara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi ini bukan calang-calang jasanya.

Dengan usia 83 tahun kita sudah tentu dapat meneka apakah pengalaman bangunan ini dan berapa banyak filem Melayu hebat ditayangkan di sini.

Sebenarnya cara terbaik untuk memastikan bangunan pawagam lama ini terus bernafas ialah menjadikannya sebagai pawagam komuniti seperti dibincangkan dalam tulisan minggu lalu.

Namun hal ini hanya dapat benar-benar dimanfaatkan jika badan perfileman kita mempunyai daya untuk mengangkat bangunan sebagai sesuatu yang bernilai di mata kita semua.

Tabik hormat harus diberikan kepada pihak REXKL dan Filemmakers Anonymous yang menghidupkan program dikenali sebagai Backlane Cinema.

Lebih manis program tayangan dan apresiasi filem ini diadakan di tapak pawagam Rex Kuala Lumpur yang pernah menjadi saksi kepada sinema kita.

Usaha yang dilaksanakan di tapak panggung REX ini sewajarnya menjadi contoh terbaik untuk kita laksanakan di tempat-tempat lain.

REXKL kini menjadi tempat acara pelbagai yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.

Ia juga memberikan kesan besar kepada usaha mendekatkan masyarakat dengan seni dan dunia filem.

Projek seperti ini bukanlah projek yang sukar untuk dilaksanakan. Sekarang kita mempunyai banyak bangunan-bangunan pawagam yang sudah bertukar menjadi pelbagai bangunan yang fungsinya sudah berubah.

Malah ada pawagam lama yang terbiar tidak dijaga. Ini langkah awal untuk kita memulakan sesuatu yang baru, sesuatu yang memberikan kesegaran dan makna besar kepada apresiasi sinema Malaysia.

Janganlah kita sia-siakan bangunan pawagam yang banyak berjasa seperti Odeon, hanya kerana tuntutan pembangunan untuk membina menara tinggi yang tidak ada apa-apa makna pun. – 28 September, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen