Belum ada usaha haramkan kapcai, kata Miros


Motosikal berkapasiti rendah popular di kalangan pengguna jalan raya kerana harga yang mampu milik dan mudah dikendali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2019.

BELUM ada sebarang usaha atau dasar kerajaan untuk mengharamkan penggunaan motosikal berkapasiti rendah di bawah 250cc di negara ini sekarang, kata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Cadangan itu juga bukan pandangan rasmi Miros walaupun ia dibuat oleh Shahrim Tamrin, seorang ahli lembaga pengarahnya.

“Kenyataan itu adalah pandangan peribadi beliau sebagai aktivis keselamatan dan tidak mewakili pandangan rasmi Miros,” kata kenyataan itu.

Jelas Miros, ia akan terus mengutamakan penggunaan motosikal yang selamat termasuk pemakaian lampu hadapan dan topi keledar, serta pembinaan lorong khas.

Isnin lalu, dalam satu forum keselamatan jalan raya di Perlis, Shahrim mencadangkan agar kerajaan mengharamkan motosikal berkapasiti rendah atau motor kapcai kerana mudah terdedah kepada kemalangan.

Sebagai ganti, beliau mencadangkan supaya kerajaan menimbang untuk membenarkan hanya skuter elektrik dengan kelajuan tidak lebih 80km sejam, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.

Cadangan Shahrim itu mendapat reaksi balas negatif dalam kalangan pengguna motor kapcai terutama di media sosial.

Pengarang portal permotoran PaulTan.org, Hazril Hafiz turut menulis hujah balasan panjang lebar mengkritik cadangan tersebut.

Motosikal berkapasiti rendah yang mula masuk pasaran Malaysia sejak akhir 1950-an ini mampu mencapai kelajuan sehingga 120km atau 140km sejam dan dibenarkan di lebuh raya.

Ia popular dalam kalangan pengguna jalan raya kerana harga yang mampu milik dan mudah dikendali.

Pada 2013, Menteri Kerja Raya Fadilah Yusof pernah mencadangkan motosikal kapasiti enjin rendah dilarang daripada menggunakan lebuh raya, juga atas alasan sama, untuk mengelak risiko kemalangan jalan raya ke atas mereka.

Cadangan sama pada masa itu juga mendapat reaksi balas yang negatif. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen