PAS gesa PDRM tubuh Pasukan Siasatan Khas kes kematian Adib


NGO Geras juga menyambut baik keputusan inkues tersebut dan mendesak supaya perdana menteri memecat Peguam Negara Tommy Thomas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 September, 2019.

PAS menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menubuhkan Pasukan Siasatan Khas dan membuka semula kertas siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata tindakan itu perlu susulan daripada keputusan inkues hari ini yang menyatakan kecederaan dan kematian Adib adalah akibat tindakan jenayah.

“Dengan ini PAS menggesa pihak PDRM agar dengan segera menubuhkan Pasukan Siasatan Khas dan membuka semula Kertas Siasatan kes ini bagi menyiasatnya sehingga ke akar umbi. 

“PAS yakin pihak polis dengan bantuan semua pihak yang mahukan keadilan ditegakkan terutama melibatkan penjawat awam yang mati semasa dalam tugas mampu menangkap dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan pihak polis telah gagal bertindak segera mengawal rusuhan semasa kejadian, dan turut menyumbang kepada kematian Adib.

Selain daripada itu, Takiyuddin juga turut menggesa supaya prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara Tommy Thomas diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 September, 2019.

“Tindakan ini perlu bagi meningkatkan keyakinan rakyat jelata terhadap Jabatan Peguam Negara khasnya dalam menegakkan keluhuran undang-undang dan menjamin keadilan,” katanya.

Prosiding inkuiri kes kematian Adib di hadapan Koroner, Rofiah bermula pada 11 Februari lalu mengambil masa sehingga 41 hari dengan 30 saksi serta 137 eksibit dikemukakan bagi menentukan punca kematian Pegawai Bomba (PB) tersebut.

Pada 16 Julai lepas, bapa Adib, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Peguam Negara Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Turut sependapat dengan PAS ialah Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang mendesak supaya pihak polis untuk mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut kepada kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Naib presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata pihak polis perlu menangkap semula empat orang suspek yang telah disiasat kerana didakwa memukul Adib selepas di bebaskan dari tahanan reman pada 10 Disember 2018.

“Dengan segala keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi dalam prosiding inkues ini, pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mempunyai bukti yang lebih dari mencukupi untuk mereka disabitkan atas kesalahan membunuh dan hukumannya tidak lain adalah gantung sampai mati,” katanya.

Sementara itu, badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik keputusan inkues tersebut dan mendesak supaya Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad segera memecat Thomas.

“Kita mengikuti perjalanan inkues. Kita lihat ada sesuatu yang peguam negara cuba buat. Keputusan inkues ini menunjukkan desakkan untuk peguam negara meletak jawatan selama ini tepat,” kata Pengerusi Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) Abu Bakar Mohamed.

“Ini hanya kemenangan kecil. Kita akan terus mendesak supaya peguam negara meletak jawatan. Mungkin kita akan buat himpunan selepas ini. Kita akan lihat perkembangan dahulu,” tambah beliau.

Bagi Presiden Pertubuhan Generasi Muda Melayu Malaysia (Gemuda) Rosli Othman, beliau berharap perjalanan kes ini pada masa akan datang dapat dilakukan tanpa sebarang campurtangan seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kita harap pembelaan terhadap Muhammad Adib selepas ini dibuat secara telus tanpa campurtangan daripada mana-mana pihak termasuk daripada parti-parti politik,” katanya.

Adib, 24, anggota bomba dari Balai Subang Jaya cedera parah ketika bertugas dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ pada 26 November lalu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari dirawat. – 27 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen