PSM mahu bertanding di DUN Kota Lama, Kelantan


Parti Sosialis Malaysia ingin lihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana pengundi di DUN Kota Lama sudah bosan dengan politik yang dibawa oleh Barisan Nasional dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2017.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) berhasrat meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Kota Lama, Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, lapor Sinar Harian hari ini.

Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S Arutchelvan berkata, sudah sampai masanya PSM meletakkan calon di Kelantan yang kini sudah berusia 30 tahun, lapor akhbar itu.

Seorang aktivis muda, Khairul Nizam Abd Ghani, 36, bakal dicalonkan bertanding di kerusi paling ramai peratusan pengundi Cina di Kelantan iaitu 34% daripada 28,248 pengundi dalam PRU13 lalu.

“Kalah menang bukan isu. PSM sudah lama buat kerja di Kelantan, bukan saja di DUN Kota Lama.

“Kita akan lihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap calon PSM kerana anak muda sudah bosan dengan politik yang dibawa oleh BN dan PAS,” katanya.

Khairul yang juga pengerusi PSM Kelantan berkata, beliau mempunyai matlamat besar untuk membawa keseimbangan dalam DUN Kelantan.

Jika ia menjadi realiti, sekurang-kurangnya pertandingan empat penjuru bakal berlaku antara Barisan Nasional (BN) yang biasanya diwakili MCA, PAS yang mempertahankan kerusi itu, Pakatan Harapan (PH) dan PSM.

Sebelum ini DAP juga melahirkan hasrat untuk bertanding di Kelantan khasnya di kerusi Kota Lama ini.

Pada pilihan raya lalu, PAS menang kerusi ini melalui wakilnya Annuar Tan Abdullah, yang kini merupakan exco kerajaan Kelantan dengan majoriti 6,618 mengalahkan calon BN daripada MCA dan calon Bebas. – 15 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • apa yang PSM telah lakukan untuk rakyat? seperti tiada budi dan jasanya. itu pun masih lagi nak kritik PAS dan Umno.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan