PAS, Umno puas hati keputusan inkues kematian Adib


Chan Kok Leong

KEPUTUSAN koroner bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia akibat perbuatan jenayah adalah adil, kata PAS dan Umno.

“Kami berpuas hati dengan kesimpulan dan keputusan itu adil kerana koroner mengambil kira semua pandangan,” kata Timbalan Ketua Pemuda PAS  Ahmad Fadhli Shaari yang ditemui pada himpunan di luar kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

“Keputusan ini mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman,” tambah ahli Parlimen Pasir Mas itu kepada pemberita selepas keputusan inkues kematian Adib diumumkan.

Koroner Rofiah Mohamad pagi tadi mengumumkan Adib meninggal dunia akibat perbuatan jenayah melibatkan lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, Ahmad berkata PAS bertegas mahu Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan atau mengambil cuti susulan keputusan yang diumumkan koroner.

“Kami harap AG (peguam negara) tidak akan rayu keputusan ini dan kami mahu polis buka semula siasatan.

“Susulan keputusan ini, polis mesti panggil semula semua saksi dan soal mereka sekali lagi,” kata Ahmad.

Beliau turut menggesa kerajaan menyiasat Exco Selangor, V. Ganabatirau. Bagaimanapun, Ahmad tidak menyatakan atas alasan apa Ganabatirau perlu disiasat.

Ganabatirau antara ahli politik dari masyarakat India dari Pakatan Harapan yang mengeluarkan kenyataan selepas kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariaman di USJ yang menyebabkan Adib cedera parah dan meninggal dunia. – 27 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen