LANGSUNG: Jho Low arah saya musnahkan dokumen untuk lindungi Najib, kata saksi


Bede Hong

Bekas CEO 1Malaysia Development Berhad Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan membacakan separuh lagi kenyataan saksinya.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 September, 2019.

SAKSI pendakwaan kesembilan, bekas CEO 1Malaysia Development Berhad Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali untuk memberi kesaksian dalam perbicaraan Najib Razak yang memasuki hari ke-14 hari ini.

Shahrol, yang juga CEO pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority, akan membacakan separuh lagi kenyataan saksinya.

Semalam, beliau memberi keterangan bahawa Najib menghalang audit kerajaan pada Disember 2009 dengan mengarahkan saksi menulis surat untuk memaklumkan kepada ketua audit negara ketika itu bahawa audit tidak akan dijalankan.

Dalam bulan yang sama, Najib menghantar suratnya sendiri yang menyatakan lembaga penasihat 1MDB bersetuju untuk “federalisasi” TIA yang diluluskan oleh kabinet.

Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB juga berkata, pihak ketiga perlu dilantik untuk melakukan audit. Syarikat perakaunan Ernst and Young kemudian dilantik untuk menjalankan audit, saksi memberitahu mahkamah.

Naib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 prtuduhan pengubahan wang dalam jumlah yang sama. Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Semalam, Shahrol juga berkata bekas perdana menteri itu mengarahkan lembaga pengarah 1MDB untuk mempercepatkan kerjasama dengan PetroSaudi International pada September 2009, kerana mendakwa akan ada lawatan daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak lama lagi yang mana perkara itu akan dibincangkan.

Shahrol berkata, sealiknya kerjasama itu menyebaban AS$700 juta dipindahkan ke syarikat Good Star Ltd. Saksi itu berkata, beliau kemudiannya dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa syarikat itu dikawa oleh Low Taek Jho, atau leboh dikenali dengan Jho Low.

Saksi menyifatkan hubungan Low dengan Najib sangat rapat, dan berkata, Low menjalankan apa yang Najib mahu dan sebagai balasan bekas perdana menteri itu meluluskan apa sahaja keputusan oleh 1MDB dan jentera kerajaan.

Tertuduh yang berusia 66 tahun itu diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan dan perbicaraan dipengerusikan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah.– 26 September, 2019.

The Malaysian Insight membawakan secara langsung prosiding hari ini:

4.13pm: Perbicaraan bersambung pada Isnin.

3.40pm: Shahrol berkata pembelian 1MDB ke atas Tanjong muktamad pada 2 Mac 2012.

3.33pm: Shahrol berkata dua loji kuasa gas dibeli selepas 1MD membeli Tanjong. Penilaian terhadap loji kuasa ini dilakukan oleh Goldman Sachs.

3.27pm: “Surat ikatan” yang ditandatangani Shahrol juga mensyaratkan bahawa sekiranya perjanjian tersebut dibatal atau gagal, maka Goldman akan membayar 30% daripada jumlah transaksi. Pengambilalihan Tanjong bernilai RM10.6 bilion. Shahrol berkata 0.5% (termasuk yuran lain) atau RM100 juta dibayar kepada Goldman Sachs.

3.24pm: Beliau berkata 1MDB melantik Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan bagi mendapatkan Tanjong Energy Holdings. Dokumen pelantikan mereka ditandatangani oleh Shahrol. Ia mensyaratkan bahawa Goldman Sachs akan mendapat 0.5% daripada yuran transaksi antara 1MDB dan Tanjong.

3.18pm: Shahrol berkata hasil risikannya mengenai Tanjong, memang betul mereka mahu jual.

“Goldman Sachs juga terlibat dalam pembelian Tanjong.”

3.17pm: Shahrol: Kami lihat ini satu peluang besar kami melibatkan diri dalam sektor IPP. Saya beritahu Jho Low tentang hal ini dan beliau setuju. Beliau minta saya sediakan satu kertas kerja konsep (concept paper) berkenaan pelaburan itu untuk dikemukakan kepada perdana menteri.

“Najib juga beri maklum balas positif mengenainya. Jadi… ia akan jadi besar.” 

3.16pm: Shahrol beritahu mahkamah bahawa pada November 2011, beliau mendapat jemputan Mubadala ke Abu Dhabi untuk menonton perlumbaan Formula 1. Pertemua tersebut diatur oleh Jho Low.

“Semasa di sana, saya dijemput menghadiri majlis makan malam gala. Saya diaturkan duduk di sebelah CEO Mubadala Philip K. Haddad.

“Di sinilah Philip beritahu saya yang Ananda Krishnan mahu jual sahamnya dalam Tanjong Energy Holding Sdn Bhd.”

3.13pm: Sri Ram: Kamu kata selepas mesyuarat, pegawai Goldman Sachs keluar. Siapa yang keluar dulu?

Shahrol: Lodin dan saya keluar dulu. Jho Low, Goldman Sachs dan Najib masih dalam bilik.

3.12pm: Sri Ram: Adakah tertuduh terkejut bila nampak kamu pada mesyuarat di New York?

Shahrol: Tidak.

Sri Ram: Dari pengamatan kamu, bagaimana gerak-geri Najib dan Jho Low?

Shahrol: Semasa mesyuarat, Jho Low duduk jauh di belakang Najib. Najib duduk dengan Llyod. Jho Low duduk diam di belakang.

Sri Ram: Tertuduh ada bercakap dengan Jho Low?

Shahrol: Saya tak nampak. Saya tak ingat perjalanan mesyuarat. Lodin dan saya dibawa masuk sebelum pegawai Goldman Sachs tiba.

Sri Ram: Semasa kamu masuk ke dalam, Jho Low sudah ada di situ dengan tertuduh?

Shahrol: Saya tak ingat. Yang saya ingat kami menunggu di luar sekejap. Saya tak ingat kalau Jho Low bersama kami, orang Goldman atau sudah ada dalam bilik.

3.08pm: Shahrol berkata salah satu sektor utama yang 1MDB mahu labur ialah pengeluar tenaga bebas (IPP), pada Mei 2010.

Katanya, mereka mahu melabur dalam IPP untuk meningkatkan penjanaan elektrik di Semenanjung menjelang 2016.

Sri Ram kemudiannya bertanya kepada Shahrol mengenai mesyuarat di New York.

3.07pm: Shahrol berkata Najib meminta sokongan dan nasihat dari Blankfein kerana Goldman Sachs ada kepakaran dalam kewangan dan pelaburan.

Mereka juga berbincang tentang pelaburan 1MDB dalam hartanah, tenaga, pelancongan dan pertanian.

“Selepas mesyuarat, saya sangat yakin dengan sebarang urusan kewangan dengan Goldman.

Saksi itu berkata berdasarkan mesyuarat di New York itu, setiap kali Jho Low mahu membawa masuk Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan ke dalam rundingan 1MDB, tidak kiralah kewangan atau pelaburan, semuanya mendapat restu Najib.

“Jho Low beritahu saya penglibatan Goldman adalah dengan niat baik, seolah-olah mendapat kelulusan dari Najib.”

3.06pm: Shahrol berkata Jho Low adalah pemudah cara bagi Najib, manakala Leissner bagi Llyod.

“Dari gerak-geri mereka pada mesyuarat itu, seolah-olah Leissner dan Jho Low berkawan rapat.”

3.05pm: Shahrol terus memberi keterangan dengan berkata Najib bertemu plabur di New York pada November 2009.

“Jho Low arahkan saya teman Najib bertemu pelabur, yang mahu melabur dalam 1MDB.”

Shahrol berkata beliau ke New York bersama Lodin.

Katanya, pada 22 November Najib bertemu CEO Goldman Sachs ketika itu, Lloyd Craig Blankfein, ketua Goldman Sachs di Asia Tim Leissner dan Jho Low.

3.02pm: Shafee membantah cek itu dibawa. Katanya apa yang Shahrol kata adalah dengar cakap kerana arahan itu antara beliau dan Jho Low.

Sequerah berkata:”Tetapi dia dengar dari Jho Low, Jho Low beritahu dia. Ini apa yang dia terima, ini apa yang seseorang beritahu dia.”

3pm: Sri Ram: Ada empat cek. Boleh anda jelaskan, anda terima cek ini, apa yang anda buat dengannya?

Shahrol: Saya terima daripada Jho Low. Dia minta saya pegang sehingga dia beri arahan. Dia tidak pernah arahkan saya sebaliknya hingga tamat tempoh perkhidmatan saya sebagai CEO. Saya kemudian serahkan cek itu kepada kewangan 1MDB.

Selepas kerjasama PetroSaudi pada PetroSaudi, sekitar masa kami menukar ekuiti kepada nota murabahah, Jho Low beritahu saya keluarga diraja Arab Saudi mahu menderma AS$100 juta kepada Yayasan 1MDB.

Saya ingat beliau tanya saya siapa nama yang perlu diletakkan di cek itu. Saya ingat ada bertanya kepada AmBank nama yang betul untuk diletakkan di cek itu.

Pada September, saya menerimanya tetapi ia tidak pernah ditunaikan.

Sri Ram: Anda tahu tandatangan siapa di cek itu?

Shahrol: Tidak.

2.56pm: Sri Ram: Pada September 2010, ada anda terima cek daripada Jho Low?

Shahrol: Ya, ada.

2.54pm: Pemilik Red Granite ialah Riza Aziz.

Sri Ram: Anda tahu ini siapa?

Shahrol: Itu anak tiri Najib.

2.52pm: Sri Ram: Red Granite menerima wang daripada Good Star bagi pihak RBS Coutts. Adakah anda tahu ini?

Shahrol: Tidak.

Sri Ram menunjukkan dokumen transaksi di mana AS$9 juta dari Good Star ke Red Granite.

2.51pm: Sri Ram menunjukkan Shahrol dokumen menunjukkan Jho Low sebagai pemilik benefisiari Good Star Ltd.

Sri Ram: Adakah anda tahu sebenarnya anda berurusan dengan Good Star?

Shahrol: Tidak.

2.46pm: Sri Ram berkata tiada masalah untuk menyelesaikannya minggu depan. Sequerah beritahu Shafee beliau akan lihat dulu keadaan buat masa sekarang.

Sri Ram meneruskan menyoal saksi.

2.45pm: Shafee turut memaklumkan Sequerah beliau minta prosiding tidak diadakan pada 2 dan 3 Oktober, kerana beliau ada kes lain.

2.41pm: Shafee dan Sri Ram mohon pada hakim Sequerah supaya mereka dibenarkan bekera di dalam dewan mahkamah ketika makan tengah hari.

2.38pm: Mahkamah bersidang semula.

12.21pm: Mahkamah berehat untuk makan tengah hari.

12.05pm: Shahrol berkata Jho Low mengarahkannya untuk memusnahkan semua butir perbincangan, pelan tindakan dan emel, kerana ia boleh menjejaskan karier politik Najib jika jatuh ke tangan pihak lain.

12.02pm: Beliau berkata perkara yang dibincangkan ialah PetroSaudi yang boleh dipercayai dan mempunyai reputasi yang baik.

11.58am: Saya rasa dia tidak berbohong mengenai kelulusan Najib kerana Najib telah memberitahu saya untuk bertindak atas perkara yang dibincangkan, kata Shahrol.

11.57am: Perbincangan itu mengandungi sejarah PetroSaudi, pembentukan dan gabungan Petro Saudi dengan Raja Abdullah, kata Shahrol.

Beliau berkata Jho Low memberi jaminan bahawa perkara-perkara dibincangkan ini dipersetujui oleh Najib.

11.56am: Sri Ram: Tetapi objek yang dimaksudkan adalah untuk menjawab pertanyaan?

Shahrol: Ya, ini sekiranya PAC di Parlimen, ketua audit dan mana-mana agensi kerajaan lain yang bertanya tentang 1MDB.

11.54am: Shahrol: Apabila Arul Kanda menggantikan saya, ahli lembaga pengarah menasihatkannya agar tidak bercakap secara umum mengenai 1MDB.

11.54am: Sri Ram: Adakah kamu ingat tertuduh membuat kenyataan umum dalam pembelaan 1MDB?

Shahrol: Saya tak ingat.

Sri Ram: Adakah anda ingat apa-apa contoh yang mana tertuduh memberitahu orang ramai tentang 1MDB.

Shahrol: Saya tidak ingat sebarang insiden spesifik yang mana Najib bercakap secara umum mengenai 1MDB.

11.52am: Mahkamah menerusi dokumen latar belakang.

11.48am: Shahrol berkata laporan awal media mengenai 1MDB menuduhnya sebagai dalang yang memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, tetapi Jho Loe merupakan penerima utama dana ini.

11.47am: Beliau berkata Pemandu merupakan unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diketuai menteri Idris Jala. Unit itu ditubuhkan bagi melaksanakan Program Tranformasi Ekonomi yang bermula pada 2010.

11.45am: Saksi berkata beliau terkejut apabila Lodin memberitahu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB bahawa Shahrol akan ke Pemandu.

Shahrol: Saya terima surat tawaran daripada Pemandu.

11.44am: Shahrol berkata beliau merasakan banyak yang belum selesai dalam 1MDB, seperti TRX dan Bandar Malaysia, serta meningkatkan industri pengeluar tenaga bebas.

11.43am: Shahrol berkata pada akhir 2012, Jho Low bertanya kepadanya sama ada beliau mahu bekerja di Pemandu. Shahrol memberitahu Jho Low bahawa beliau berkhidmat kepada PM dan sekiranya Najib mahu beliau ke sana, beliau akan ikut.

11.33am: Saksi berkata ketika mesyuarat itu berlangsung, sebanyak AS$1 bilion telah didepositkan ke akaun PetroSaudi.

11.32am: Shahrol berkata pada mesyuarat itu tida dinyatakan mengenai wang yang diterima PetroSaudi daripada 1MDB. Menurutnya, tiada minit mesyuarat ketika itu disimpan.

11.31am: Menurut saksi pada mesyuarat itu, mereka melihat pelaburan yang boleh dibuat PetroSaudi di Malaysia.

11.30am: Saksi berkata pada permulaan mesyuarat, Low memberikan Najib jam tangan sebagai hadiah.

Sri Ram bertanya sama ada ia jam yang mahal.

Saksi menjawab: “Ya, ia nampak mahal.”

11.28am: Sri Ram bertanya saksi sama ada minit mesyuarat itu disimpan.

Shahrol menjawab ya. Menurutnya Patrik Mahoney, Tarik dan Low juga hadir.

11.24am: Shahrol berkata beliau agak “tidak selesa” berhubung pemindahan wang AS$1.83 bilion dari PetroSaudi ke 1MDB.

Beliau berkata Najib berjumpa dengan lembaga pengarah 1MDB pada 16 Mei, 2011 di hotel Hilton Park Lane, London. Menurutnya ia diatur atas nasihat Low.

Menurutnya, Najib mengadakan pertemuan dengan pengarah sebanyak tiga kali.

11.01am: Perbicaraan bersambung.

Sri Ram berjumpa Sequerah dan bertanya sama ada hakim mahu tangguhkan perbicaraan esok kerana beliau kelihatan tidak sihat.

Sequerah berterima kasih kepada Sri Ram kerana bertanya, namun beliau mahu teruskan perbicaraan hari ini.

Shafee berkata beliau tidak menyedari hakim tidak sihat.

10.37: Mahkamah berhenti rehat.

10.33: Mereka menyemak surat, emel, koresponden, dokumen transaksi dari 1MDB dan PetroSaudi.

10.04am: Koresponden antara 1MDB dan pengaturcara bank AmInvestment dan Standard Chartered Bank Bhd dikeluarkan. Dokumen membawa arahan untuk menyediakan AS$300 juta (RM1.25 bilion). Shahrol berkata ini adalah persediaan untuk pinjaman kepada PetroSaudi.

10am: Satu dokumen dikeluarkan yang mana ia berdasarkan perjanjian bertarikh 13 September 2010. Ia memberikan kelonggaran kepada peminjam untuk menggunakan RM1.6 bilion bagi langganan sekuriti hutang yang akan dikeluarkan oleh 1MDB PetroSaudi Limited, British Virgin Islands. Dokumen ini mempunyai tandatangan Shahrol.

9.40am: Perbicaraan bermula.

Shahrol meneruskan keterangan saksi, mengesahkan dokumen 1MDB berhubung syarat pinjaman AmBank RM2.5 bilion.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen