Najib arah lembaga 1MDB percepat usaha sama dengan PetroSaudi, kata saksi


Bede Hong Noel Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang berdepan perbicaraan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa memperkaya dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan dengan jumlah sama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 September, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak mengarahkan lembaga pengara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mempercepatkan usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI) pada September 2009, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif dana berkenaan kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Saksi Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, Najib mahu usahasama itu dicepatkan kerana lawatan kerja diraja Saudi akan diadakan dalam masa terdekat di mana perkara itu akan dibincangkan.

“Datuk Seri Najib mengarahkan supaya lembaga mempercepatkan keputusan meluluskan usaha sama dengan PSI.

“Saya yakin itu adalah kepentingan nasional berdasarkan arahan perdana menteri melalui Tan Sri Bakke (Salleh),” katanya merujuk kepada pengerusi lembaga 1MDB.

Najib yang sedang berdepan perbicaraan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa memperkaya dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan dengan jumlah sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan. 

Semasa pemeriksaan balas petang tadi, Shahrol berkata arahan dikeluarkan semasa mesyuarat khas pada 26 September 2009 apabila lembaga pengarah 1MDB bertindak untuk menyokong usaha sama itu.

Hadir dalam mesyuarat itu ialah Bakke dan perantara 1MDB Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Saksi berkata, sebelum mesyuarat itu Bakke memberitahu ahli lembaga bahawa beliau perlu menjawab panggilan telefon daripada Najib.

“Tidak lama selepas itu beliau kembali duduk bersama kami dan memaklumkan kepada lembaga pengarah bahawa usaha sama dengan PSI perlu dianggap sebagai perkara penting berkaitan kerajaan yang telah dicadangkan dalam masa agak lama,” katanya.

Shahrol berkata dua hari selepas mesyuarat itu, pada 28 September 2009 beliau menandatangani perjanjian usaha sama antara PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd dan 1MDB PetroSaudi Ltd.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa perjanjian itu telah digubal oleh peguam 1MDB dari Wong & Partners dan Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang. – 25 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen