Zamihan dibebaskan hari ini


Diyana Ibrahim

Pendakwah Zamihan Mat Zin dibebaskan hari ini selepas mahkamah menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman. – Gambar Youtube, 14 Oktober, 2017.

PENDAKWAH Zamihan Mat Zin yang ditahan reman untuk siasatan di bawah Akta Hasutan selepas didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi untuk orang Islam dibebaskan hari ini.

Zamihan yang dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang tadi disambut oleh ahli keluarganya.

Beliau kemudiannya terus beredar dengan menaiki sebuah kenderaan MPV berwarna hitam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata, Zamihan tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan kepada media oleh pihak polis.

“Zamihan dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan perintah remannya ditolak oleh mahkamah semalam,” katanya.

Tambah Fakhrul, anak guamnya itu turut berada dalam keadaan yang baik dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

“Hujah kita ialah siasatan ini dibuat berkaitan kes hasutan jadi kalau kita tengok kesalahan ia tidak berapa serius dan boleh boleh dijamin.Tempoh tahanan itu tidak boleh sama dengan kesalahan mandatori.

“Jadi kita rasa siasatan sudah lengkap, kita tunggu arahan lanjut sama ada pertuduhan atau tidak,” katanya.

Sementara itu, abang sulung Zamihan, Mohd Zaimi Mat Zin ketika ditemui di IPD Dang Wangi menyifatkan penahanan adiknya tidak adil memandangkan banyak lagi kes seumpama itu tidak disiasat pihak polis.

“Saya agak terkilan sebab saya tengok secara keseluruhan banyak kes yang berlaku tapi tak diadili dengan saksama maksud saya kalau sebelum ini ada pihak yang cuba menghina agama Islam tetapi tidak didakwa

“Tapi ini (kes Zamihan) melibatkan sensitiviti membabitkan sultan pada saya faham pihak berwajib ambil tindakan untuk menjaga nama,” katanya.

 Zamihan merupakan anak yang keempat daripada 10 adik beradik.

Tambahnya kehadiran mereka di IPD Dang Wangi menyambut pembebasan Zamihan bukan atas dasar keluarga semata-mata namun lebih kepada pegangan akidah yang diperjuangkan adiknya sebagai ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pada saya secara dasarnya Zamihan tidak salah dia cuma menyuarakan pendapat betapa penting pegangan akidah umat islam 

“Cuma saya tak nafikan dari segi tutur katanya agak keras sikit tapi biasalah kita manusia biasa ada kelemahan.”

Zamihan merupakan presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ahli Sunnah Wal Jamaah atau Aswaja.

Zamihan ditahan pada Rabu lalu dan direman selama dua hari selepas satu video kenyataannya yang didakwa mengkritik Sultan Johor mengenai isu “kedai dobi untuk orang Islam” tersebar di media sosial.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Zamihan disiasat kerana didakwa menghasut dalam ceramah yang mengkrtik Sultan Johor itu.

Dalam video berkenaan Zamihan berkata “tidak betul” untuk menyekat kedai dobi seperti itu.

Zamihan yang merupakan pegawai agama Jabatan Penjara yang dipinjamkan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, menafikan kenyataannya itu mengkritik atau menghina Sultan Johor. – 14 Oktober, 2017.

 

  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen