Sebuah pawagam, sebuah kawasan Parlimen


Daniyal Kadir

FILEM “Suatu Ketika” (2019) arahan Prakash Murugiah merupakan antara filem terbaik Malaysia tahun ini. Melalui pemaparan kisah yang segar dengan suntikan elemen kenegaraan dan semangat cintakan negara yang lebih kuat dan bermaruah, ia menjadi salah sebuah filem wajib tonton kepada rakyat Malaysia.

Namun menjadi suatu hal yang tidak terduga apabila belum pun sempat dua minggu ditayangkan, waktu tayangan untuk filem ini di rangkaian pawagam tempatan sudah semakin terhad dan berada di luar waktu perdana.

Ini menjadi satu hal yang menyakitkan dan menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati pembikin, pelakon malah kebanyakan mereka yang menonton.

Ada yang menimbulkan soal pawagam hanya memikirkan keuntungan tanpa mahu memberikan ruang yang lebih banyak buat filem tempatan. Ada yang menganggap ini sebagai tindakan tidak adil kerana pawagam lebih banyak memberikan ruang dan peluang kepada filem asing.

Ini bukan perkara baharu. Kaedah tayangan di rangkaian pawagam wayang utama sememangnya bergantung pada sambutan hangat penonton pada minggu awal tayangan.

Pawagam kemudiannya akan membuat keputusan tentang jumlah tayangan pada minggu berikutnya berasaskan sambutan awal ini.

Namun hal ini sesuatu yang tidak patut berlaku, khasnya kepada filem tempatan yang sedang menerima sambutan dan berlaku perkembangan pada kutipan dan sebagainya.

Bagaimana agaknya mahu kita memberikan ruang tayangan lebih luas dan besar buat filem tempatan, jika pawagam tidak mahu memberikan sokongan menyeluruh seperti yang berlaku kepada Suatu Ketika?

Kita sering mendengar orang menyebut tentang pawagam komuniti. Baru-baru ini pun telah dilancarkan pawagam dengan konsep komuniti, yang pertama di Malaysia.

Pawagam ini terletak di Lahad Datu, Sabah dan diusahakan oleh syarikat Max Cinemas Sdn Bhd. Ia mempunyai empat dewan tayangan dengan kapasiti keseluruhan 280 kerusi.

Kita memuji usaha ini, kerana ia permulaan yang baik untuk mendekatkan masyarakat dengan filem. Namun selain membiarkannya diusahakan oleh syarikat swasta sahaja, ia seharusnya dikembangkan dengan lebih meluas melalui inisiatif dan pegangan lebih kukuh oleh pihak kerajaan.

Kita selalu membincangkan tentang bagaimana filem tempatan yang baik dan berkualiti, namun dibikin oleh penerbit atau syarikat yang tidak besar dan tidak mempunyai pengaruh, sukar mendapat tempat yang perdana di pawagam wayang utama.

Di sinilah wujudnya kepentingan besar pawagam komuniti.

Saya melihat pawagam komuniti ini harus wujud di setiap kawasan Parlimen di negara kita. Bayangkan kita mempunyai 222 kawasan Parlimen, jika kita benar-benar serius mahu membangunkan masyarakat yang celik sinema, kita sewajarnya mempunyai 222 pawagam komuniti.

Bayangkan dengan 222 pawagam komuniti, bagaimana rancaknya industri filem tempatan kita nanti. Ia tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada rangkaian sinema tempatan.

Namun ia boleh bergerak dengan lebih luas ke seluruh negara. Semua orang dapat menikmati filem-filem tempatan yang dikeluarkan dengan kadar tontonan lebih lama dan memuaskan.

Seharusnya pawagam komuniti ini memberi fokus tayangan hanya kepada filem tempatan dan dari Asia Tenggara dan seterusnya filem berkualiti dari Asia.

Ia menjadi medan penting untuk filem tempatan kita bernafas semula. Di samping itu, rakyat Malaysia dapat menikmati filem dari Asia Tenggara yang selama ini sukar untuk kita peroleh dan tonton, walaupun kita selalu melaungkan semangat serumpun di bawah bumbung Asean.

Begitu sukarnya untuk kita menonton filem hebat dari Filipina misalnya dan filem dari Indonesia yang masuk juga hanya filem popular.

Pernah saya berbual dengan seorang penerbit filem mandiri, dia memberitahu saya bahawa keadaan ini berlaku kerana tidak ada pihak mahu mengedarkan filem dari Asean di negara ini, melainkan filem popular yang boleh membawa keuntungan.

Di sinilah peluang dan ruang yang harus direbut oleh pawagam komuniti. Mereka bukan sekadar menjadi layar, tetapi juga jambatan yang menghubungkan khalayak dengan filem berkualiti dan hebat.

Bayangkan jika pawagam komuniti ini menjadi sebuah projek penting kerajaan di 222 kawasan Parlimen.

Kita akan memiliki 222 pawagam di seluruh negara yang dimiliki kerajaan dan sudah tentu filem seperti Suatu Ketika akan mendapat peluang ditayangkan di 222 skrin seluruh negara selama mungkin lebih sebulan.

Ada yang menyebut bahawa negara sedang berhadap krisis hutang dan kemelut dari sudut belanjawan. Namun kita mungkin lupa bahawa setiap tiket wayang telah dikenakan cukai hiburan sehingga kadar 25%.

Ini merupakan satu kadar yang tinggi dan agihan daripada cukai ini sewajarnya boleh digunakan untuk menampung program pembangunan industri seperti pawagam komuniti ini.

Bagi memastikan pawagam komuniti ini dapat berdaya maju dan memiliki ketahanan untuk diteruskan dalam jangka masa panjang, ia wajar mengenakan tiket, namun pada kadar lebih munasabah dan sesuai untuk dikenakan pengecualian cukai tertentu.

Hal ini tertakluk kepada rundingan industri dan pakar-pakar ekonomi, namun ia bukanlah sesuatu idea yang boleh diremehkan, kerana ia boleh dilaksanakan.

Di Selangor sahaja, kutipan duti hiburan dari pawagam kebiasannya melebihi RM40 juta setahun dan ia satu jumlah besar.

Terdapat jangkaan kutipan ini juga akan meningkat dari tahun ke tahun. Angkanya sudah tentu besar jika mengambil kira kutipan keseluruhan bagi semua negeri di negara kita.

Melalui pengagihan lebih baik dan perancangan penggunaan yang cekap, duti ini boleh menjadi sumber yang sesuai untuk melaksanakan program pawagam komuniti.

Jika terdapat keresahan mengenai kuasa persekutuan dan negeri terhadap cukai seperti ini, kerjasama erat boleh dijalinkan kedua-dua pihak demi menjayakan agenda sinema nasional.

Kerjasama awam-swasta dan inisiatif melalui geran antarabangsa juga mampu menjadi permulaan baik untuk kita memulakan usaha murni seperti ini.

Seperti dinyatakan tadi, pawagam komuniti ini harus melaksanakan program apresiasi sinema dengan giat dan cemerlang.

Ia menjadi titik pertemuan masyarakat dalam mendekatkan diri dengan sinema, di samping memberikan ruang untuk kita membentuk audiens lebih berkualiti dalam menghargai karya di pawagam.

Aspek pelaksanaan menjadi kunci kepada kejayaan program seperti ini, ia termasuk organisasi pengurusan dan penyeliaannya harus cekap dan memiliki daya kefahaman baik terhadap sinema.

Kita juga mahu melihat pawagam komuniti ini menjadi ruang terbaik untuk memberi langkah permulaan kepada pembikin filem pendek menayangkan filem-filem mereka.

Ia sudah tentu bakal mengembangkan bakat yang ada dalam sesebuah masyarakat. Ia akan lebih bersifat tempatan dan akan memperbanyak pembikin filem berkualiti dari negara kita.

Kita tidak harus berhenti dari memikirkan idea ini. Ia mungkin kelihatan kompleks untuk dilaksanakan, namun ia bukanlah sukar jika kita memiliki kemahuan.

Mulakanlah berfikir demi memastikan keadilan dan perkembangan lebih baik buat sinema tempatan. – 21 September, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen