Kerajaan terbuka dengan pelabur asing dalam MAS


Chan Kok Leong

Perdana menteri berkata, tiada pelabur tempatan yang berkemampuan untuk melabur dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September Ogos, 2019.

PUTRAJAYA tiada halangan untuk pelabur asing melabur dalam Malaysia Airlines Bhd (MAS) sekiranya ia membantu,” kata Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat idea ini bahawa sesetengah syarikat asing mungkin akan melabur dalam MAS. Kami tidak menentang idea tetapi sesetengah orang yang sangat sentimental. Mereka mahu melihat MAS dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

“Tetapi tiada pelabur Malaysia yang mampu untuk melakukannya,” kata perdana menteri pada satu sesi wawancara dengan stesen radio BFM pagi ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada kerajaan akan membenarkan syarikat asing untuk mengambil kepentingan utama dalam MAS, sebagaimana syarikat pembuat kereta Geely dalam Proton.

Minggu lalu, terdapat laporan menyebut Japan Airlines (JAL) sedang berunding untuk mengambil keoentingan dalam MAS kerana hubungan erat antara Putrajaya dan kerajaan Jepun.

Dr Mahathir berkata, tugas untuk kembalikan keuntungan MAS adalah sukar.

“Ianya bukan mudah kerana mereka (MAS) sudah buat banyak perubahan, seperti pertukaran pengurusan, pemberhentian 6,000 kakitangan, dan sebagainya. Namun masih menanggung kerugian.

“Ketika MAS ditubuhkan, masih belum ada syarikat penerbangan tambang murah. Ini menjejaskan MAS dan syarikat penerbangan lain,” tambahnya.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai Khazanah Nasional Bhd yang memiliki MAS, apabila ditanya mengenai syarikat berkaitan kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta.

Beliau mengulangi bahawa Khazanah tidak seharusnya menjalankan urusan perniagaan kerana ia bukan perniagaan utama mereka.

“Idea asal ialah Khazanah hanya perlu membeli saham yang tidak diambil oleh Bumiputera. Tetapi mereka kini telah melabur dalam banyak perkara lain. Sebahagian daripada ini tidak berada dalam perniagaan terasnya.

“Khazanah harus melupuskan apa yang bukan dalam perniagaan terasnya, dan kita boleh mendapat manfaat daripada pelupusan ini.

“Mereka harus berpegang pada perniagaan teras mereka. Memasuki urusan perniagaan bukan sesuatu yang perlu mereka lakukan. MAS adalah salah satu pelaburan yang mereka buat,” kata Dr Mahathir. – 17 September Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen