Pembangkang Sabah tuntut kerajaan meterai Perjanjian Malaysia baharu 


Jason Santos

Jeffrey yang merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu berkata Putrajaya boleh memberi jaminan untuk memenuhi perjanjian baru itu, dan sekiranya mereka gagal, mereka sepatutnya membenarkan Sabah dan Sarawak berpisah dari persekutuan Malaysia. – gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2019.

PERJANJIAN Malaysia yang baharu mesti digubal kerana perjanjian asal telah melencong hala tujunya di samping peruntukan yang telah termeterai masih belum dikotakan, kata ketua pembangkang Sabah Dr Jeffrey Kitingan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku itu berkata Putrajaya boleh memberi jaminan untuk memenuhi perjanjian baharu itu, dan sekiranya mereka gagal, mereka sepatutnya membenarkan Sabah dan Sarawak berpisah dari Persekutuan Malaysia.

Jeffrey berkata rakyat Sabah mahukan Malaysia yang menjanjikan status perkongsian saksama antara Malaya, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata sebagai rakan kongsi, Sabah mahu “Merdeka sepanjang masa” seperti yang termaktub dalam lagu rasmi negeri itu.

“MA63 tidak boleh lagi digunakan sebagai asas untuk perpaduan negara. Sebagai negeri-negeri dengan kerajaan masing-masing, Sabah dan Sarawak tidak boleh terus menjadi tanah jajahan!

“Kita perlu menyedari sepenuhnya bahawa MA63 sebenarnya merupakan perjanjian antara Malaya dan Britain.

“Kami hanya diminta menandatangani tanpa kuasa kerana kami masih jajahan British pada masa itu pada 9 Julai 1963,” katanya semasa mengangkat sumpah di perhimpunan Hari Malaysia di Keningau hari ini.

Jeffrey berkata MA63 tidak mengikat secara sah kedua-dua negeri Borneo itu dan pilihan pertama yang ada bagi rakyat Sabah ialah mendraf Perjanjian Malaysia yang baharu, bersama dengan jaminan baharu.

“Sabah dan Sarawak telah dipermain, dibodohkan, dimusnahkan, dieksploitasi, dan dirosakkan dengan hadiah jawatan, pekerjaan dari projek-projek mega, dan juga menjadi subjek strategi pecah dan perintah di bawah politik federalisme yang membahayakan.

“Kami kini telah membuka mata kami dan dan sedar Malaysia yang pernah kami terima dengan penuh kebanggaan dan dapat makmur bersama. Persekutuan sedemikian tidak wujud!

“Apa yang kami ada hanyalah Malaya, Persekutuan Tanah Melayu yang diwujudkan pada tahun 1957, yang kemudiannya diubah menjadi Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.

Jeffrey, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan, menyuarakan pendapatnya mengenai sebab mengapa Sabah dan Sarawak terpaksa meraikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos setiap tahun.

Beliau berkata Putrajaya terus mengabaikan bahawa Malaysia hanya wujud pada tahun 1963 dan oleh itu, kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tidak mempunyai kepentingan untuk rakyat Malaysia Timur.

Berdasarkan rekod sejarah pada 31 Ogos 1963 Sabah mencapai kemerdekaannya. – 16 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen