MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menafikan beliau meluluskan projek pembinaan satu bangunan kerajaan persekutuan bernilai RM450 juta di Kota Bharu secara rundingan terus.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluluskan projek itu.
“Saya tidak tahu dan saya tidak pernah tandatangan projek itu. Tetapi saya akan berbincang dengan perdana menteri berhubung perkara ini.
“Saya juga akan semak dengan kakitangan Kementerian Kewangan berhubung isu ini,” katanya kepada wartawan selepas satu program di Menara Hasil, Petaling Jaya hari ini.
Beliau ditanya mengenai satu surat didakwa menyatakan kementeriannya bersetuju melantik satu syarikat bagi membina bangunan gunasama persekutuan di Tunjong, Kota Bharu.
Surat bertarikh 26 Julai itu mendakwa Lim bersetuju supaya syarikat terbabit dilantik secara rundingan terus bagi melaksana projek berkenaan.
Dokumen berkenaan juga didakwa merujuk satu surat daripada perdana menteri bertarikh 9 Julai berhubung perkara sama.
Surat didakwa daripada seorang pegawai tinggi Kementerian Kewangan itu disiarkan di media sosial semalam oleh seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii.
Dr Mahathir ketika ditanya mengenai perkara itu pada malam tadi berkata beliau tidak pernah meluluskan projek secara rundingan terus sejak mengambil alih kerajaan.
Bagaimanapun, tuduhan itu akan disiasat, katanya.
“Saya tidak pernah meluluskan apa-apa. Saya perlu semak mengenai ini, mungkin sebab dulu dia (syarikat) dah dapat dan ia adalah sambungan.
“Kita dapati apabila Pakatan Harapan ambil alih kerajaan, kita hentikan semua kontrak. Bila hentikan kontrak masalah timbul, pekerja tidak meneruskan kerja.
“Sepatutnya kita hentikan atau buat rundingan semula. Saya tak tahu ini kes yang mana, saya perlu semak dulu,” katanya seperti dipetik dalam laporan media pada malam tadi.
Sementara itu, Lim dalam ucapannya terdahulu berkata, kutipan cukai meningkat sebanyak 8.94% sehingga ke 31 Ogos ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya ekonomi Malaysia dijangka berkembang secara lestari pada suku ketiga tahun ini dan keluaran dalam negara kasar juga berkembang kuku pada kadar 4.9% pada suku kedua 2019.
Selain itu, faedah hasil pelaburan asing meningkat sebanyak 97.2% ke RM49.5 billion pada suku pertama 2019 berbanding RM25.1 billion pada tahun lalu, katanya. – 16 September, 2019.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Saidi Said · Ulasan