Cinta kereta antik satukan Sabah


Jason Santos

Tak perlu jadi kaya untuk menjadikan kereta lama sebagai hobi, hanya kesabaran dan mahu belajar, kata ketua kelab Bob Syahrin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 September, 2019.

SEBUAH kelab peminat kereta antik buatan Jepun berjaya menyatukan ahli pelbagai kaumnya di Sabah yang bersama-sama mencari alat ganti di kedai terpakai bagi menyempurnakan projek terbaru mereka.

Penyatuan itu berdasarkan kepuasan bersama menyaksikan kereta lama berjaya dilawakan semula dan walaupun antik masih boleh bergerak, tak ubah seperti kereta baharu, kata pemimpin Kelab Pemilik Kereta Lama Sabah Bob Syahrin.

“Hobi ini sudah menjadi gaya hidup untuk kebanyakan daripada kami. Tak perlu jadi kaya untuk jadi penggemar kereta lama di Sabah.

“Yang diperlukan adalah kesabaran tinggi, bersedia untuk belajar dan selesaikan masalah, dan ada ramai kawan untuk membantu projek yang dibuat,” kata Bob yang memiliki sebuah Mazda 808 Coupe.

Ditubuhkan pada 2012, kelab itu dimulakan oleh sekumpulan sahabat yang menghadiri sebuah pameran kereta sepuluh tahun sebelum itu.

Buat masa sekarang, kelab itu memiliki 118 ahli di seluruh negeri yang memiliki pelbagai jenis kereta lama yang menarik perhatian seperti Toyota KE80, Toyota KE30, Toyota Celica TA28, Nissan Skyline GTR dan Datsun 120Y (bekas anak syarikat Nissan).

Koleksi kelab itu turut meliputi kereta langka seperti Isuzu Billet dan Toyota Corona RT40.

Kelab Kereta Lama Sabah menyatukan ahli pelbagai kaum atas dasar berkongsi hobi yang sama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 September, 2019.

Menurut seorang ahli kelab yang juga guru sekolah rendah, Jerry Jong, yang memiliki Toyota Corona RT40, memandu kereta lama itu berjaya menarik perhatian pelajarnya.

“Pelajar saya semuanya tergamam bila saya memandu kereta itu ke sekolah. Kereta antik, kereta antik, mereka kata.

“Pada masa sekarang orang terlalu asyik dengan benda baharu sampai mereka kadang-kadang terlupa kecantikan benda klasik,” katanya yang mengajar mata pelajaran seni di La Salle Kota Kinabalu.

“Selepas kereta, fesyen pun antik,” kata Jong yang memakai topi dan seluar jean yang membuatkannya seperti pemuda “hispster” tidak menggambarkan usianya yang sudah mencecah 40 tahun.

Jong berkata persahabatan terjalin kerana kereta antik melampaui sempadan kaum, agama dan status.

“Bila kita ketepikan semua perbezaan kita, lebih mudah untuk semua orang berkongsi apa yang mereka tahu, bertukar-tukar bahagian yang mereka perlu dan tidak perlu dan cuba membantu satu sama lain untuk meneruskan hobi itu,” katanya. – 16 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen