Anak tanpa dokumen di mata Putri Purnama


Daniyal Kadir

BARU-BARU ini Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di laman Facebook beliau menulis rasa kagumnya terhadap filem Tamil berjudul Raatchasi (2019) arahan Sy Gowthamraj dan dilakonkan oleh bintang terkenal, Jyothika.

Raatchasi, sebuah filem tentang pendidikan yang menerima sambutan hangat di Malaysia. Maszlee dalam tulisannya menganggap Raatchasi menterjemahkan aspirasi beliau dalam membawa pembaharuan terhadap sistem pendidikan negara.

Amat lega untuk kita mempunyai seorang menteri yang peka dengan filem-filem di sekitarnya. Tulisan Maszlee mengenai Raatchasi sekurang-kurangnya melihatkan kepada kita bahawa beliau menganggap filem sebagai antara medium terpenting dalam memberikan pemahaman menyeluruh terhadap isu-isu semasa dan sebarang pembaharuan dasar yang cuba dibawa kerajaan.

Antara usaha positif yang digerakkan Maszlee dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah membuka laluan seluas-luasnya buat anak-anak tanpa dokumen untuk bersekolah.

Dilaporkan sehingga April 2019, seramai 2,635 kanak-kanak tanpa dokumen ini telah mendaftarkan diri untuk mengikuti sesi persekolahan dan ini dianggap KPM sebagai antara usaha penting dalam mendekatkan diri kanak-kanak ini dengan pendidikan serta mampu membantu mereka meningkatkan keupayaan diri kelak.

Sudah tentu kita gembira melihat dasar terbuka dan menyeluruh seperti ini. Ia membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menerima pendidikan, kerana pendidikan ialah hak asasi setiap manusia.

Lantas apabila membaca tulisan Maszlee mengenai Raatchasi dan mengenangkan mengenai pembaharuan yang cuba digerakkan khasnya mengenai anak-anak tanpa dokumen, saya terus teringatkan seorang pembikin filem wanita dari Sabah yang giat mengupas dan membikin filem berkisar tentang isu anak-anak tanpa dokumen ini.

Beliau yang saya maksudkan ialah Putri Purnama Sugua.

Putri yang berasal dari Sandakan, Sabah gemar menyentuh hal pendidikan dan memberi fokus menyeluruh terhadap nasib anak tanpa dokumen, khasnya di Negeri Di Bawah Bayu.

Beliau merupakan pembikin filem muda yang memiliki potensi dan sudah mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Misalnya beliau pernah terpilih untuk menyertai Film Rok Incubator anjuran Busan Film Commission dan menerima biasiswa untuk menyertai bengkel Asian Film Academy yang dianjurkan oleh Busan International Film Festival.

Saya mula mengikuti karya Putri selepas menonton salah sebuah filem pendeknya berjudul Rumah Ndak Bertanah yang diarahkannya pada tahun ini untuk Pesta Filem Kita.

Filem ini mengisahkan kehidupan Toteng, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang bekerja bersama-sama ibunya di sebuah tapak pelupusan sampah. Mereka berdua mengumpul tin kosong dan besi buruk untuk ditukar ganti dengan wang bagi meneruskan kehidupan.

Toteng merupakan anak tanpa dokumen, namun beliau sangat bersungguh-sungguh mahu ke sekolah dan Rumah Ndak Bertanah membuka kisah tentang bagaimana Toteng sanggup berjuang dan bergelut untuk belajar dan pergi ke sekolah.

Filem ini bagi saya memberikan pengertian besar kepada kita bahawa di negara yang kita cintai ini, masih ada pembikin filem yang sayang akan masyarakatnya.

Saya lihat Putri amat konsisten dengan perjuangannya dalam membawakan isu berkaitan anak tanpa dokumen ini. Bukan sahaja melalui Rumah Ndak Bertanah, namun dalam beberapa filem pendek yang diarahkannya sebelum ini.

Putri pada asalnya tidak mengetahui secara tepat terma anak tanpa dokumen, namun segala-galanya berubah apabila beliau menghasilkan filem pendek Mimpi Untuk Terbang.

Dalam filem berkenaan terdapat watak bernama Aming yang dilakukan oleh seorang kanak-kanak bernama Bhulat, semasa menyiapkan teaser untuk filem berkenaan, Putri telah bertanyakan Bhulat, soalan mudah dan tipikal.

“Apa cita-cita Bhulat?”

Namun Bhulat dengan tenang membalas pertanyaan Putri dengan sebuah persoalan yang meninggalkan bekas mendalam terhadap Putri. Kanak-kanak itu menjawab.

“Apa itu cita-cita?”

Jawapan Bhulat itu menyebabkan Putri mula sedar bahawa masalah anak-anak tanpa dokumen ini merupakan masalah serius dan sejak itu, beliau menjadikan medium filem sebagai ruang lontaran suara buat golongan ini.

Selain itu, Putri juga muncul dengan Aku Mau Skola, sebuah dokumentari yang menerima dana daripada Freedom Film Fest dan kini beliau sedang mengerjakan sebuah dokumentari berdurasi penuh dengan judul Unseen Soul.

Semua karya Putri seperti disebutkan tadi adalah mengenai anak-anak tanpa dokumen. Namun begitu, agak sayang kerana karya-karya beliau tidak diberikan ruang sebaik mungkin untuk ditayangkan.

Filem bukanlah mampu menjadi penyelesai kepada masalah masyarakat, namun filem berbentuk realisme sosial seperti dibikin Putri mempunyai keupayaan tinggi untuk menjentik hati masyarakat dan menyedari tentang masalah yang wujud. Kemudian daripada kesedaran itu akan timbul pemahaman dan kemahuan untuk mencari penyelesaian.

Ketika saya bertanyakan kepada beliau sendiri tentang peranan filem dalam membawakan isu-isu seperti ini, Putri melihat filem sebagai pengantara untuk golongan yang beliau sedang bahaskan dan memberikan suara untuk melaungkan ketidakadilan yang dihadapi.

Beliau juga yakin dengan kekuatan medium filem dalam mengubah hidup golongan yang muncul di dalam filem-filemnya.

Kemungkinan besar filem-filem Putri setakat ini belum didedahkan kepada pemimpin, malah Menteri, namun sekarang adalah masa terbaik untuk mendedahkan karya-karya Putri ke peringkat lebih baik, ke ruang lebih besar.

Molek sebenarnya filem-filem pendek seperti ini diberikan peluang untuk muncul di panggung wayang kerana ia memiliki peranan besar dan menyedarkan masyarakat tentang isu-isu yang diperjuangkan.

Kita tidak mahu filem-filem pendek dengan pernyataan yang kuat seperti Rumah Ndak Bertanah ini hanya berkesempatan muncul di festival-festival kecil dan acara-acara tayangan mandiri sahaja.

Sewajarnya, filem pendek yang memiliki impak sosial seperti ini diberikan ruang untuk ditayangkan di panggung wayang.

Ia boleh dilaksanakan dengan cara menayangkannya bagi menggantikan iklan sebelum sesebuah filem di panggung itu ditayangkan. Mungkin bukan pada setiap waktu tayangan, namun jika seminggu sekali, ia sudah cukup untuk memberi ruang bermakna dan penghormatan kepada karya yang baik seperti ini.

Kesepakatan seperti ini dapat dijalinkan melalui pengukuhan kerjasama badan yang menguruskan filem seperti Finas dan pihak panggung wayang sendiri. Ia boleh dimasukkan sebagai program untuk menghargai bakat muda yang berpotensi.

Diharapkan filem-filem Putri akan sampai ke tangan menteri pendidikan kita dan saya fikir apa yang diusahakan Putri ini akan membantu pihak Kementerian untuk memahami secara lebih jelas permasalahan pendidikan berkaitan anak-anak tanpa dokumen ini.

Semoga Putri terus membikin filem dan konsisten dengan subjek yang dibawakan. Keunikan beliau dalam memaparkan masalah masyarakat membuatkan filem-filemnya segar dan menawan.

Kita berharap badan menguruskan filem dan hal ehwal dana akan memberi tumpuan lebih besar kepada pembikin filem seperti Putri kerana mereka memerlukan sokongan kuat untuk terus berdiri dan menyedarkan masyarakat. – 14 September, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen