Siasatan gangguan KLIA: Kakitangan MAHB dipaksa sumpah nama Allah 


Kalidevi Mogan Kumarappa

KLIA mengalami gangguan sistem yang menjejaskan operasi di lapangan terbang itu pada 21 Ogos lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2019.

TIGA kakitangan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dipaksa bersumpah atas nama Allah bahawa mereka bukan dalang di belakang gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, kata sumber.

The Malaysian Insight diberitahu mereka yang juga digantung tugas sementara turut merasakan telah disoal siasat dengan tidak adil oleh pihak pengurusan berhubung gangguan selama empat hari bulan lepas.

Tiga kakitangan itu dipanggil ke pejabat di KLIA pada 26 Ogos lalu, lebih kurang pukul 10 malam, kata sumber, yang memperincikan bagaimana siasatan itu dibuat oleh pihak pengurusan tinggi MAHB.

“Sebaik proses soal siasat bermula, komputer riba, kad pekerja dan kad SIM telefon bimbit semua kakitangan itu dirampas sebelum mereka diminta menjelaskan mengenai sistem rangkaian yang bermasalah.

“Tidak cukup dengan itu, mereka diminta bersumpah atas nama Allah swt dan menyatakan tidak terlibat dengan kejadian gangguan sistem rangkaian itu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Selepas habis disoal siasat, tiga staf itu diberikan surat gantung kerja dan kemudian dibawa ke balai polis di klia2 untuk dirakam pula keterangan oleh pihak polis.

Tiga kakitangan itu adalah antara 70 individu yang dirakam keterangan mereka oleh polis bagi membantu siasatan kejadian yang berlaku antara 21 hingga 24 Ogos.

Mereka yang berkhidmat lebih kurang 20 tahun kini sudah kembali bertugas.

Sementara itu, empat pegawai bahagian teknologi maklumat MAHB) membuat laporan polis yang menyatakan mereka tidak terlibat dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA.

Pada 21 Ogos lalu, KLIA mengalami gangguan sistem yang menjejaskan operasi di lapangan terbang itu. Antara lain, ia menjejaskan sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Ia juga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang sebelum sistem kembali distabilkan pada 24 Ogos.

MAHB, dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA itu disebabkan tindakan berniat jahat.

Sehingga ke hari ini, polis sudah merakam keterangan lebih 70 individu berhubung insiden itu dan masih menunggu laporan daripada beberapa pakar termasuk CyberSecurity Malaysia bagi melengkapkan proses siasatan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata siasatan kes itu kini masuk peringkat akhir.

“Kita akan lihat sama ada benar wujud sabotaj dalam kes berkenaan atau sebaliknya.

“Kita berharap dalam menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin,” katanya pada sidang media, semalam.– 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen