POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan lebih 70 individu berhubung insiden gangguan rangkaian sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata siasatan kes itu sedang berjalan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
“Daripada 70 individu itu, ada beberapa daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Kami sedang menunggu laporan daripada beberapa pakar termasuk CyberSecurity Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.
Menurutnya, laporan siasatan dan pandangan pakar dalam bidang melibatkan teknologi membolehkan pasukan siasatan mendapat pandangan yang lebih jelas mengenai kes berkenaan.
“Kami berharap laporan pakar akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan pihaknya masih belum ada petunjuk kukuh bagi mengaitkan kejadian itu dengan perbuatan sabotaj.
Turut dilaporkan, 12 individu sudah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung gangguan sistem yang berlaku selama empat hari bermula 21 Ogos lepas.
Empat pegawai bahagian Teknologi Maklumat MAHB sebelum ini membuat laporan polis bagi menafikan pembabitan mereka dalam insiden gangguan rangkaian sistem di KLIA baru-baru ini. – 13 September, 2019.
Komen