Indonesia sita tanah ladang syarikat Malaysia di Riau, lapor media


Kebakaran hutan dan belukar di Indonesia didakwa menjadi punca utama jerebu di Malaysia dan Singapura. – Gambar EPA, 13 September, 2019.

PIHAK berkuasa Indonesia menyita tanah di Riau milik anak syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam pembakaran hutan yang mengakibatkan keadaan berjerebu di sebahagian Asia Tenggara, lapor media di republik itu.

Perintah sita ke atas PT Adei Plantation and Industry itu dikeluarkan oleh Menteri Alam Sekitar dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar, kelmarin.

“Sudah kami periksa syarikat pembakar hutan dari Malaysia. Sudah disita pada 11 haribulan (September) kelmarin,” katanya, seperti dipetik CNN Indonesia.

Menurut CNN, Adei Plantation dimiliki sebahagian besarnya oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

Syarikat sama pernah dikaitkan dengan pembakaran hutan di Riau sejak bertahun-tahun lalu, seawal 2001, dan pihak pengurusannya pernah dihukum penjara oleh mahkamah di Indonesia pada 2014, lapor media.

CNN Indonesia juga melaporkan pihak berkuasa di republik itu sedang memeriksa semula kedudukan syarikat dari Malaysia dan Singapura yang terlibat dalam pembakaran hutan.

“Saya sedang minta ketua pengarah semak seluruh daftar syarikat Malaysia dan Singapura yang (ladangnya) terbakar. Data sedang dikumpulkan, ya,” katanya, dipetik portal berita itu.

Siti Nurbaya dalam pada itu menafikan beliau mengelak tanggungjawab Indonesia dalam isu jerebu, seperti yang dipertikaikan oleh menteri alam sekitar Yeo Bee Yin.

Jelasnya, beliau hanya menyebut data yang dikumpulkan melalui satelit antara 3 hingga 8 September dan meminta Malaysia supaya lebih objektif dalam hal ini.

Kelmarin, Yeo meminta Indonesia supaya jangan menafikan hakikat bahawa keadaan berjerebu di sebahagian Asia Tenggara sekarang berpunca daripada pembakaran hutan yang berlaku di republik itu.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Siti Nurbaya dilapor berkata kebakaran hutan dan belukar di Indonesia bukan punca utama jerebu di Malaysia dan Singapura, dan mahu fakta itu dibetulkan.

Namun kepada CNN Indonesia Siti Nurbaya berkata beliau tidak mahu terus bertelagah dengan Yeo, sebaliknya meminta rakan sejawatannya itu lebih objektif dalam meneliti data mengenai keadaan cuaca.

Jerebu yang mula melanda beberapa negeri di Malaysia sejak 5 September lepas sehingga ini menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak, terbaru di Selangor, diarahkan tutup minggu ini. – 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen