Apa logiknya jerebu bukan dari Indonesia, tanya Yeo Bee Yin


Malaysia berdepan masalah jerebu sejak 5 September lalu sehingga memaksa ratusan sekolah ditutup di Sarawak.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 11 September Ogos, 2019.

YEO Bee Yin meminta Indonesia supaya jangan menafikan hakikat bahawa keadaan berjerebu di sebahagian Asia Tenggara sekarang berpunca daripada pembakaran hutan yang berlaku di republik itu.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar itu meminta rakan sejawatannya Siti Nurbaya supaya merujuk pada data yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa kaji cuaca.

“Biarlah data yang berbicara sendiri.

“Data terbaru mengenai jumlah titik panas yang dicatatkan oleh Pusat Kaji Cuaca Khas Asean: Kalimantan (474), Sumatera (387) berbanding Malaysia (7),” katanya melalui satu komentar di Facebook, yang turut menyertakan pautan ke laman web data yang dirujuknya.

Siti Nurbaya dipetik media Indonesia berkata beliau mahu menghantar surat bantahan kepada Malaysia kerana tidak puas hati republik itu dituduh punca utama jerebu.

Katanya, kebakaran hutan dan belukar di Indonesia bukan punca utama jerebu di Malaysia dan Singapura, dan beliau mahu fakta itu dibetulkan.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin mahu rakan sejawatnya dari Indonesia Siti Nurbaya merujuk kepada data pihak berkuasa kaji cuaca. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September Ogos, 2019.

“Asap yang masuk ke Malaysia ke Kuala Lumpur itu dari Sarawak dan kemudian dari Semenanjung Malaysia dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat,” katanya.

Yeo juga menepis dakwaan Siti Nurbaya bahawa jerebu minggu ini berpunca dari Sarawak, kononnya kerana pergerakan angin.

“Mana logik munasabahnya?

“Menteri Siti Nurbaya sepatutnya jangan dalam penafian,” kata Yeo.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang turut diminta mengulas kenyataan Siti Nurbaya berpendapat itu pandangan menteri Indonesia itu.

“Itu dia punya komen, kita tidak boleh kata apalah,” kata Dr Mahathir, seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberitahu mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu membincangkan usaha-usaha kerajaan untuk menangani kesan jerebu yang melanda Malaysia sekarang.

“Kita bincangkan tentang cara-cara mengurangkan jerebu,” katanya, ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-35 Universiti Binary, malam ini.

Jerebu mulai melanda beberapa negeri di Malaysia sejak 5 September lepas sehingga menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak diarahkan tutup. – 11 September Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen