SPRM perangi rasuah di pejabat ketua menteri Sabah


Jason Santos

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa berkata penempatan seorang pegawai kanan di pejabat ketua menteri Sabah adalah langkah tambahan, selain menubuhkan unit integriti di pentadbiran negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan seorang pegawai kanan di pejabat ketua menteri Sabah untuk menghapuskan rasuah yang melibatkan kepimpinan negeri, kata Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya hari ini.

Menurut Latheefa, ini merupakan langkah tambahan, selain menubuhkan unit integriti di pentadbiran negeri untuk memerangi rasuah dalam sektor awam.

“Kami menawarkan untuk meletakkan seorang pegawai kanan di pejabat ketua menteri sebagai langkah pencegahan, untuk memastikan tiada peluang terhadap rasuah dan beliau memberi respons yang kami dialu-alukan,” kata Latheefa selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, hari ini.

“Kami sekarang menyelesaikan butiran mengenai penempatan dan akan membuat pengumuman yang diperlukan tidak lama lagi.”

Latheefa berkata tujuan unit integriti di pentadbiran negeri adalah untuk mencegah kebocoran dan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Pada pertemuan dengan Shafie, Latheefa juga mengulangi seruannya kepada semua wakil rakyat mengisytiharkan aset mereka, sama seperti ahli Parlimen, mengatakan tindakan itu akan lebih berkesan dalam memerangi rasuah di kalangan wakil rakyat.

Latheefa juga berkata kemungkinan GLC Sabah akan terlibat dalam rasuah lebih tinggi berbanding negeri lain kerana kekayaan sumber semula jadi yang milikinya.

Bagaimanapun, beliau berkata bukan bidang kuasa SPRM memantau GLC negeri, dan menambah yang terbaik bagi firma agar mencontohi GLC nasional dengan menempatkan pegawai integriti di pejabat mereka. – 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen