Berhenti guna SPRM sebagai alat politik, kata Latheefa


Jason Santos

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata sekian lama agensinya disalahguna oleh ahli politik untuk menyerang pesaing mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 11 September, 2019.

AHLI politik perlu berhenti menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjatuhkan pesaing mereka, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata beberapa laporan yang diserahkan kepada agensi itu “jelas” bermotifkan politik.

Beliau berkata SPRM sekian lama disalahgunakan sebagai alat politik untuk menyerang pemimpin, dan ini menjadikan ia sukar untuk mengekalkan profesionalisme dan integriti.

“Kami berusaha untuk menjadi profesional, dan kami tidak mahu SPRM digunakan sebagai alat. Kami akan menyiasat apabila menerima aduan, tetapi mesti ada asas untuk segala dakwaan ini.

“Terdapat banyak kes di mana orang datang dan membuat laporan, dan kemudian, mendedahkan laporan mereka kepada media. Sesetengah ahli politik berasa kita tidak melayan kes mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu hari ini.

Ia adalah lawatan pertama Latheefa ke ibu negeri Sabah sebagai ketua SPRM selepas dilantik memegang jawatan pada Jun.

Kenyataannya hari ini merujuk kepada gesaan pemimpin pembangkang negeri agar SPRM membuka semula siasatan terhadap kes penjualan tanah berjumlah RM155 juta kepada Risda.

Kes itu melibatkan peguam Michael Persius Ubu, yang dilaporkan gagal hadir di pejabat SPRM walaupun dipanggil awal tahun lalu bersama Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Peter Anthony.

Anthony, yang kini menteri pembangunan infrastruktur negeri, direman selama tiga hari. Kes itu tidak diteruskan selepas agensi antirasuah gagal mengesan Ubu.

Latheefa berkata SPRM akan menyiasat kes selagi tuduhan dibuat berasas.

“Tiada yang dihentikan hanya kerana seseorang kini berkuasa.”

Ditanya sama ada agensi itu sedang meneliti kes berprofil tinggi yang melibatkan penduduk Sabah, beliau berkata ia “sedang menyiasat beberapa” dan akan mengemaskini sebaik sahaja siasatan selesai. – 11 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen