PERBICARAAN kes 1MDB ditangguhkan hari ini kerana bekas perdana menteri Najib Razak sakit mata untuk kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah yang Najib sakit mata kerana situasi jerebu buruk yang berlaku sekarang.
“ Saya terima panggilan pada jam 7.15 pagi daripada anak guam (Najib) dan isterinya. (Dia) Keluar semalam dan jerebu memburukkan sakit mata anak guam saya. Temujanjinya dengan pakar pada jam 10.30 pagi di Garderns Mall. Saya boleh berikan laporan perubatan.
“Seperti kita tahu, sakit mata mudah berjangkit. Kemungkinan besar beliau tidak dapat hadir hari ini dan esok. Kami akan memberikan laporan perubatan kepada mahkamah nanti,” katanya.
Semalam, Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mereka akan memanggil lima atau enam saksi hari ini untuk pengesahan.
“Kita tak boleh lakukan pengesahan sedangkan tertuduh tidak hadir. Kami tidak dapat buat apa-apa selain tunggu laporan perubatan,” katanya kepada mahkamah.
Sequerah membenarkan penangguhan hari ini tetapi meminta prosiding berlangsung pada Jumaat bagi menggantikan hari ini.
“Malangnya…mungkin kita boleh bersidang pada Jumaat untuk memenuhi keadaan kesihatan tertuduh,” katanya.
Shafee dan Sri Ram berkata mereka tidak dapat hadir pada Jumaat kerana ada kes lain.
Hakim Sequerah berkata mahkamah akan menunggu sekiranya kesihatan Najib pulih esok untuk meneruskan prosiding.
Jika masih belum sihat, prosiding akan disambung Selasa depan kerana Isnin adalah cuti umum, katanya.
Anak tiri Najib, Riza Aziz kelihatan hadir duduk di barisan hadapan ruang awam.
Hari ini, sepatutnya Shafee akan menyambung soal balas saksi kelapan pendakwaan, bekas pegawai khas Najib, Amhari Effendi Nazaruddin.
Semalam, Amhari disoal tentang keterangan saksi bertulisnya tentang Low Taek Jho atau Jho Low.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. – 11 September, 2019.
Komen