PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd masuk hari ke-7 dengan bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Effendi Nazaruddin kembali disoal balas peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam sesi soal balas hampir enam jam semalam, Shafee menyemak keterangan bertulis Amhari setebal 77 muka surat dengan penuh teliti.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga semalam diberitahu yang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan isteri Najib, Rosmah Mansor.
Amhari, saksi ke-8 pihak pendakwaan memberi keterangan yang Rosmah menjemput Low ke parti ekslusif di kediaman peribadi pasangan itu di Jalan Duta yang turut dihadiri kerabat diraja dan orang kenamaan lain.
Rosmah juga sering berhubungan dengan Low melalui telefon, seperti yang pernah dilihat Amhari ketika bermesyuarat dengan Low.
Amhari juga mendedahkan yang Low cuba membuatkan pegawai kerajaan termasuk Najib untuk mengatakan beliau tidak terlibat dalam skandal 1MDB selepas ia terbongkar pada 2015.
Low didakwa mengarahkan Setiausaha Sulit Kanan kepada Najib ketika itu, Azlin Alias dan Amhari untuk mengeluarkan kenyataan mengandungi soalan kerap ditanya (FAQ) menerusi 1MDB.
Dalam kenyataan itu, Low mengarahkan mereka memasukkan FAQ yang mengatakan beliau tidak terlibat dalam 1MDB.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Pemimpin berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam bela diketuai Shafee.
Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pasukan pendakwaan. Hakim Collin Lawrence Sequerah mendengar kes.
Shafee memberitahu Sequerah yang beliau menjangkakan akan habis menyoal balas Amhari hari ini.
The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini.
9.48am: Saya rasa perkara ini tidak boleh dielak, kata Hakim Collin Lawrence Sequerah. Beliau kemudian menangguhkan prosiding hari ini.
9.47am: Pendakwa raya Gopal Sri Ram berkata, pihaknya tidak ada soalan dan akan menunggu laporan perubatan.
9.44am: Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, Najib menelefon pada jam 7.15 pagi memberitahu beliau sakit mata dan perlu berjumpa pakar.
Shafee: Keluar semalam dan jerebu memburukkan sakit mata anak guam saya. Temujanjinya dengan pakar pada jam 10.30 pagi di Garderns Mall. Saya boleh berikan laporan perubatan. Seperti kita tahu, sakit mata mudah berjangkit. Kemungkinan besar beliau tidak dapat hadir hari ini dan esok. Kami akan memberikan laporan perubatan kepada mahkamah nanti.
9.42am: Anak tiri Najib Razak, Riza Aziz, duduk di barisan depan ruang awam. – 11 September, 2019.
Komen