Zamihan direman dua hari berhubung kritikan terhadap titah Sultan Johor


Muzliza Mustafa

Perintah reman terhadap pegawai Jakim Zamihan Mat Zin dikeluarkan di ibu pejabat polis Dang Wangi di mana beliau ditahan. – Gambar Youtube, 12 Oktober, 2017.

PENDAKWAH Dr Zamihan Mat Zin ditahan reman dua hari untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengkritik Sultan Johor berhubung kedai dobi untuk orang Islam sahaja di negeri itu. 

Perintah reman itu dikeluarkan pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di mana Zamihan ditahan. Difahamkan, Zamihan diwakili oleh beberapa orang peguam. 

Kes hasutan terbabit disiasat oleh satu pasukan khas dari Bukit Aman. 

Peguam yang mewakili Zamihan, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata polis memohon perintah reman empat hari namun hanya diberikan dua hari.

“Jumlah tempoh reman dikurangkan kerana saya menjelaskan kepada majistret anak guam saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung kes ini,” katanya. 

Fakhrul Azman berkata denda bagi kesalahan di bawah seksyen itu adalah ringan kerana ia bukan satu kesalahan berat.

“Ia bukan satu kesalahan berat. Di bawah seksyen itu sekiranya didapati bersalah, Zamihan akan berdepan hukuman denda RM5,000 atau penjara lima tahun,” kata peguam itu. 

Zamihan ditahan semalam selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi.

Jakim dalam satu kenyataannya malam tadi mengesahkan Zamihan masih di bawahnya tetapi dipinjamkan ke Kementerian Dalam Negeri.

Pemeriksaan di laman web Jakim mendapati Zamihan diberikan jawatan “pegawai hal ehwal Islam” dan terikat di bawah Bahagian Kawalan Teks Penerbitan dan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha berkata, pihaknya memandang serius terhadap tuduhan bahawa Zamihan mengkritik titah Sultan Johor dalam satu ceramah yang tersebar di media sosial.

“Jakim sudah memanggil Zamihan pagi ini (Rabu) untuk penjelasan terperinci berhubung perkara itu. Jakim memutuskan untuk merujuk perkara itu kepada badan disiplin untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zamihan semalam mendakwa difitnah oleh media yang menyiarkan rakaman video kuliahnya yang mengandungi kenyataan yang mengkritik Sultan Johor.

Biarpun menyifatkan dirinya sebagai mangsa fitnah, Zamihan dalam kenyataannya memohon ampun daripada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Adalah mustahil untuk saya sama sekali menuturkan kata-kata yang bersifat untuk memperlekeh atau jauh sekali untuk menghina Tuanku Sultan.

“Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku. 

“Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati,” katanya dalam kenyataan itu.

Zamihan turut menjelaskan beliau membuat kenyataan itu atas kapasiti sebagai Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Beliau juga sebelum itu menyatakan kesediaan untuk disiasat selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed memberitahu media Zamihan akan disiasat oleh pihak berkuasa.

Dalam satu ceramah agama di Shah Alam pada Ahad lepas, Zamihan didakwa mengkritik titah Sultan Johor berhubung sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang mencetuskan kontroversi kerana dibuka hanya kepada orang Islam.

Zamihan, dalam mempertahankan dirinya, berkata beliau tidak menghina Sultan Johor  sebaliknya hanya memberikan pandangan peribadi mengenai keperluan umat Islam menjaga kesucian dengan tidak berkongsi cucian pakaian dengan orang bukan Islam, yang dikatakannya sebagai “tidak bersih”.

“Kita ini orang Islam harus mempertahankan prinsip dan hak kita. Bukan Islam boleh guna dobi mesra Muslim tapi kena jaga sensitiviti kita itu.

“Kita ‘kan lebih-lebih lagi negara Islam contoh, negara Islam hadhari dan model terbaik. Mengapa dobi Muslim tidak wajar dibuat. Perdana menteri kita Islam, Raja-Raja kita Islam, majoriti rakyat Islam dan kenapa dobi sedemikian hendak ditutup dan dikenakan tindakan,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 12 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen