Kos tinggi antara punca peniaga Melayu tidak mohon sijil halal


SM Amin

Penyediaan premis merupakan antara syarat utama untuk mendapatkan sijil halal sedangkan ramai usahawan ini hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 September, 2019.

KOS tinggi untuk menyediakan premis menyebabkan ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tidak memohon untuk mendapatkan sijil halal, kata beberapa usahawan Melayu.

Penyediaan premis itu merupakan antara syarat utama untuk mendapatkan sijil halal sedangkan ramai usahawan ini hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah.

Salah seorang daripadanya adalah Ummu Habibah Idrus yang tidak dapat memohon sijil halal bagi produk makanan jenama Cik Bibah keluarannya.

“Macam saya walaupun ada premis, tetapi tetap tidak cukup syarat kerana saya ambil kedai tingkat atas sebab murah.

“Syarat premis kedua, ada dua pintu keluar masuk, tandas berada di luar dan ada beberapa syarat lagi.

“Memang hanya RM200 kena bayar untuk mohon sijil halal tetapi kos penyediaan premis itu agak tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perkara itu diakui seorang usahawan asnaf Sharifah Suhaila Syed Ahmad yang turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan sijil halal bagi produk perencah makanan keluarannya.

Sharifah percaya beliau hanya akan mendapat sijil itu jika pihak berkuasa tempatan (PBT) melonggarkan syarat terutamanya terhadap peniaga asnaf sepertinya.

“Asnaf tidak mampu untuk sewa premis atau kilang. Pernah Jakim beri kelonggaran benarkan operasi di rumah dengan syarat tertentu, tetapi masalah dengan PBT pula.

“Bila tidak dapat kelulusan PBT, serupa jugalah sebab hendak mohon halal kena dapat kelulusan PBT juga.

“Bila PBT tidak lepas, Jabatan Kesihatan juga tidak lepas,” ujarnya yang mengusahakan produk dengan jenama Cmolek.

Selain soal kos yang tinggi, sistem pendaftaran sijil halal dalam talian juga didakwa tidak mesra pengguna dan sukar untuk dikendalikan, kata seorang lagi pengeluar makanan, Suryati Ahmad.

Data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menunjukkan lebih 60% pemilik sijil halal terdiri daripada syarikat multinasional milik orang bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 September, 2019.

Pemilik Dijaz Crunchy Nuts itu berkata pendaftaran itu menyukarkan, terutamanya bagi individu yang kurang pengetahuan dalam teknologi dan tidak mendapat bantuan mana-mana pihak.

Oleh itu, pengusaha perlu mendapatkan bantuan daripada Halal Malaysia yang mengadakan bengkel melalui Jabatan Agama Islam negeri untuk memohon sijil tersebut.

“Buku pun ada. Kita kena usaha juga dapatkan sijil halal supaya produk kita boleh pergi jauh,” katanya.

Namun ada juga pengusaha Bumiputera yang tidak memohon sijil halal kerana tidak melihatnya sebagai keperluan mendesak, kata seorang pengusaha produk coklat, Darwis Mohamed.

Pemilik D&J Handmade Chocolate Darwis itu berkata, sikap itu berbeza dengan pengusaha bukan Bumiputera yang mahu menembusi pasaran luar negara.

“Orang bukan Islam memohon sijil halal sebab mereka berdagang, bukan main runcit lagi. Mereka memahami pasaran mereka termasuk di luar negara memerlukan pensijilan halal.

“Orang Melayu ini pula, pasaran mereka tidak besar. Jadi mereka merasakan tiada keperluan yang mendesak untuk mereka memohon sijil halal,” ujarnya.

Para usahawan ini mengulas data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menunjukkan lebih 60% pemilik sijil halal terdiri daripada syarikat multinasional milik orang bukan Islam.

Isu ini menjadi tumpuan ekoran kempen yang digiatkan agar pengguna memilih barangan keluaran usahawan Bumiputera Islam.

Kempen yang digerakkan NGO Islam dan dipromosi ke seluruh negara melalui program jelajah itu itu turut didukung oleh parti pembangkang PAS dan Umno.

Pada masa sama kempen serupa dipromosi dengan retorik kaum dan agama oleh pihak tertentu di media sosial agar pengguna menjauhi produk bukan Bumiputera dan bukan Islam.

Sementara itu, pengguna yang ditemui The Malaysian Insight di satu pameran halal pula berkata kehadiran mereka adalah untuk mencari produk keluaran Muslim Bumiputera.

Seorang jurutera, Basri Che Bakar berkata beliau berkunjung ke Halfest di Pusat Pameran Mines itu kerana sukar mencari produk halal Bumiputera di kedai-kedai.

“Kebanyakannya jual secara atas talian. Bila saya datang sini, kita boleh rasa produk itu dan tahu di mana hendak beli selepas ini. Bukan semua produk ada jual di pasar raya,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Ab Manaf Md Hashim, 63, juga berkata beliau juga menyokong kempen itu untuk memajukan ekonomi orang Islam

“Kita orang Islam ini sudah ketinggalan lama. Bila ada kempen beli barangan Muslim, kita bantu promosi supaya ekonomi kita boleh naik.

“Bukan boikot tetapi kita hendak naik bersama-sama,” kata pesara Felda itu.

Seorang surirumah Farah Mohd Rais, 29, pula tidak menolak kemungkinan memang ada di kalangan orang Melayu Islam yang ekstrem bertindak memboikot produk bukan Muslim.

“Kita bukan boikot tetapi kita cuba bantu peniaga Muslim ini sebab mereka bayar zakat. Zakat ini digunakan untuk bantu asnaf dan ekonomi mereka.

“Tetapi saya tidak tolak kemungkinan ada sesetengah orang yang begitu taksub sehingga memboikot produk bukan Muslim,” ujarnya. – 10 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen