Warisan pula selar PBS berhubung isu pas sementara


Jason Santos

Bendahari Warisan, Terrence Siambun berkata pemimpin PBS tidak dapat menunjukkan usah-usah mereka bagi menyelesaikan isu-isu pendatang di negeri itu ketika mereka berkuasa.– Gambar Youtube, 9 September, 2019.

PARTI Bersatu Sabah mesti sedar dengan realiti masalah pendatang asing di Sabah dan bukan mengulangi isu sama yang telah 40 tahun berlarutan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan hari ini.

Bendahari Warisan, Terrence Siambun berkata pemimpin PBS tidak dapat menunjukkan usah-usah mereka bagi menyelesaikan isu-isu pendatang di negeri itu ketika mereka berkuasa.

“Saya percaya ada 50,000 hingga 100,000 pendatang tanpa izin di Sabah semasa PBS mentadbir kerajaan negeri. Dan angka-angka tersebut terus naik ketika PBS bersama Barisan Nasional.

“Ini adalah masalah, kalau hanya duduk dan menjerit mengenainya. Masalahnya akan terus meningkat dan menjalar,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan yang diketuai oleh Warisan telah mula bekerja untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin dengan memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) hujung minggu lalu.

Siambun memberikan maklum balas terhadap kritikan PBS terhadap Pas Sementara Sabah kepada kira-kira 600,000 pendatang yang memegang IMM13, Surat Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.

Beliau turut berkata tindakan pentadbiran kerajaan sebelum ini yang tidak melakukan apa-apa tindakan telah mengakibatkan peningkatan bilangan penduduk tanpa kerakyatan, termasuk mereka yang status kewargaannya tidak dapat dikenal pasti sedangkan mereka telah hidup dalam masyarakat Sabah.

Pada hari ini, ketua maklumat PBS merangkap Adun Kiulu, Joniston Bangkuai berkata dasar baru itu hanya akan menggalakkan pendatang untuk “membiak” di negeri ini sementara timbalan presiden parti PBS, Radin Malleh secara keras menolak rancangan tersebut dan mendesak agar para pendatang dihantar ke negara asal mereka.

Siambun menambah bahawa Warisan dalam manifesto pilihan raya berjanji untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin dan oleh itu tindakan yang realistik dan progresif mesti diambil untuk menangani masalah itu.

“Warisan mahu bertindak dan menyelesaikannya dengan memikirkan kepentingan terbaik buat Sabah dan rakyat. Saya ingin bertanya kepada Joniston jika dia tahu siapa mereka ini.

“Sekiranya kerajaan sebelum ini mengenal pasti dan mengesannya, maka proses pemahaman bagi keadaan kompleks ini akan jadi lebih mudah,” katanya.

Pentadbiran kerajaan yang diketuai Warisan ketika ini memulakan usaha dalam menangani pendatang tanpa izin sejak awal bagi memahami kedudukan undang-undang mereka yang memegang tiga kad yang berbeza.

Kerajaan juga terpaksa menentukan cara terbaik untuk berurusan dengan negara-negara yang berkaitan bagi menerima kembali rakyat mereka dan juga melihat kedudukan sesetengah daripada mereka yang boleh menjadi Rakyat Malaysia sekurang-kurangnya melalui salah seorang daripada ibu bapa mereka, katanya. – 9 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen