Kirikah gerakan kiri di Malaysia?


Wan Hamidi Hamid

PEMERGIAN Kassim Ahmad buat selama-lamanya Selasa lalu (10 Oktober 2017) dilihat sebagai hilangnya seorang intelek, sasterawan dan pencetus kontroversi Quran dan hadis. Dalam pada itu, masih ramai yang kabur tentang Kassim sebagai seorang sosialis dan pemimpin parti kiri.

Ketiadaan beliau membuka ruang untuk kembali melihat sejarah gerakan kiri di Malaysia. Bagi mereka yang menganuti politik kiri, mungkin tajuk tulisan ini seperti menghiris hati. Namun, dengan jiwa yang tenang dan sedikit kesabaran, elok dijenguk apa yang tersurat dan tersirat itu.

Politik perang dingin

Selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1945 setelah menjajah hampir semua wilayah Asia Tenggara, British kembali ke jajahannya di Malaya, Singapura, Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Brunei dan Burma.

Walaupun penjajah Barat bersaing sesama sendiri, mereka bersatu hati apabila berdepan dengan ancaman gerakan kemerdekaan Asia selepas perang tersebut. Belanda kembali ke Indonesia. Portugis pula balik ke Timur Timor. Perancis kembali ke Vietnam, Laos dan Kemboja. Amerika Syarikat pula bertandang semula ke Filipina.

Pasca Perang Dunia Kedua melahirkan dua kuasa besar baru – Amerika Syarikat dan Soviet Union – yang memisahkan dunia kepada blok “bebas/kapitalis” dan “sosialis/komunis”. Pengintipan, pertumpahan darah dan pelbagai krisis berlaku di seluruh dunia dalam era ini yang digelar Perang Dingin (1945-90).

Komunisme di Asia Tenggara

British selaku rakan karib Amerika Syarikat bimbang dengan pengaruh Soviet Union dan sekutu awalnya China di rantau ini. Apa sahaja yang menentang Barat terus dicop komunis walaupun penentang tersebut tidak ada kena-mengena dengan komunisme.

Atas geopolitik inilah berlaku rampasan kuasa tentera di Indonesia yang didalangi kuasa Barat termasuk agensi perisik Amerika CIA telah melumpuhkan kuasa Presiden Sukarno. Ia dituruti dengan penyembelihan sesiapa sahaja yang disyaki mempunyai kaitan dengan Partai Komunis Indonesia yang sebelum itu wujud sebagai wadah yang sah. Lebih sejuta orang awam menjadi mangsa pembunuhan tersebut.

Atas geopolitik yang sama, Amerika Syarikat dengan alasan mahu menyekat kemaraan komunisme, telah mempertahankan regim korup Vietnam Selatan. Ia campurtangan untuk melawan pemimpin komunis Ho Chi Minh yang mahu menyatukan negaranya setelah berjaya menghalau penjajah Perancis di Vietnam Utara pada 1954. Selama satu dekad Perang Vietnam meletus dengan kematian kira-kira dua juta orang awam. Vietnam berjaya disatukan di bawah regim komunis pada 1975.

Pada tahun itu juga, malapetaka politik melanda Indo-China. Akibat daripada pengeboman sulit Amerika terhadap Kemboja yang didakwa menjadi kubu gerila Vietnam Utara beberapa tahun sebelumnya, ia melahirkan gerakan komunis Kemboja yang digelar Khmer Merah atau Khmer Rouge.

Apabila Khmer Rouge berkuasa pada tahun tersebut, ia melakukan kekejaman atas tafsiran ekstrem ideologi kiri yang mengakibatkan kematian sejuta rakyat sendiri. Tidak salah jika dikatakan eksperimen Khmer Rouge itu sama dengan keadaan ISIS hari ini yang mahu melahirkan negara Islam yang “sempurna” mengikut versi mereka tanpa mempedulikan nilai nyawa manusia.

Kemelut politik Malaya

Sekembalinya British ke Malaya pada 1945, antara langkah awalnya ialah menolak cadangan golongan yang dianggap progresif, iaitu gabungan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang mewakili orang Melayu dan AMCJA (All Malaya Council of Joint Action) bagi pihak kaum bukan-Melayu. Yang penting di sini adalah konotasi “progresif” yang membawa maksud kiri sebagaimana yang difahami hari ini.

Cadangan PUTERA-AMCJA dalam Perlembagaan Rakyat pada 1947 bertujuan menolak cadangan balas British untuk Perlembagaan Tanah Melayu (Malaya) sebagai ganti kepada Malayan Union yang tidak diterima oleh semua pihak. Yang bersifat progresif, malah radikal dalam cadangan itu adalah kerakyatan sama rata (equal citizenship) untuk semua kaum.

Walaupun ada mitos tentang kehebatan Perlembagaan Rakyat, sebenarnya cadangan-cadangan lain tidak banyak berbeza dengan tuntutan UMNO seperti  kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun ada yang lebih radikal seperti kewarganegaraan semua kaum dinamakan Melayu.

Jika mengikut kayu ukuran politik hari ini, Perlembagaan Rakyat mudah diterima kecuali hak saksama dalam soal kerakyatan (walaupun ditawarkan kedudukan istimewa). Maksudnya, soal kaum masih sesuatu yang “sensitif” pada hari ini.

Hakikat politik Malaysia

Ia mendedahkan satu hakikat politik, iaitu sukar bagi mana-mana kaum untuk duduk dalam sesebuah pertubuhan pelbagai kaum. Masing-masing lebih selesa dengan badan-badan siasah dan kebajikan kaum sendiri dengan bahasa sendiri.

Sama ada kiri atau kanan, hampir sama keselesaan mereka. Cuma di sebelah kanan seperti UMNO, MCA dan MIC, mereka terang-terangan mewakili kaum masing-masing. Bagi pihak kiri pula, walaupun membuka keahlian kepada semua kaum, dari segi amalannya, setiap organisasi mempunyai kaum majoriti masing-masing.

Contohnya di Malaya telah lahir Partai Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya. PRM dipimpin orang Melayu manakala Buruh pimpinan bukan-Melayu. Mereka bergabung dalam Socialist Front yang merupakan pakatan kiri bukan-komunis yang sah untuk bertanding dalam pilihan raya.

Seperti perangai penjajah British sebelumnya, kerajaan Perikatan bertindak keras terhadap Socialist Front dengan mengintip, menyelinap masuk organisasi, melakukan intimidasi, menahan para pemimpin kiri tanpa bicara dan pelbagai tekanan lain. Sejak awal lagi, rakyat ditakutkan dengan momok komunisme walaupun semua wadah komunis telah diharamkan sejak 1948.

Dalam masa yang sama, akibat kesan segregasi kaum – hasil pembawaan penjajah British, pembesar Melayu, kapitalis Cina dan India, serta keselesaan untuk duduk sesama kaum – menyebabkan gerakan kiri turut terperangkap dengan politik kaum.

Ini tidak bermakna Socialist Front dan parti-parti kiri lain bermain politik perkauman. Prinsip mereka tetap progresif tetapi sukar bagi mereka untuk menjalin kerjasama kukuh kerana sering bertelagah dalam soal bahasa, hak saksama kaum dan masalah kekok adat budaya.

Sepanjang dekad 1960-an pula gerakan kiri semakin terpisah. Progresif Melayu lebih condong kepada kepimpinan Sukarno manakala progresif Cina lebih kepada Mao Zedong. Golongan muda di akhir dekad tersebut pula banyak terpengaruh dengan aliran “sosialisme saintifik” yang dibawakan oleh Fidel Castro dan Che Guevara di Cuba.

Pemisahan itu bukan setakat di Malaysia, malah berkait rapat dengan geopolitik kiri apabila komunis Rusia dan China bertelingkah sehingga merebak perbalahan mereka kepada sekutu masing-masing di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Dominasi politik kaum

Sehingga hari ini, politik kaum menjadi amalan walaupun apa yang tersurat biasanya atas nama kepelbagaian kaum. Malah kini ditambah pula dengan politik agama sebagai alat dominasi hegemoni kaum.

Kembali kepada tajuk tulisan ini, jawapannya memang gerakan kiri di Malaysia layak digelar kiri. Maksudnya, kiri sebagai sosialis atau secara umumnya bersifat progresif. Ia mewakili parti-parti yang pernah wujud sebelum ini seperti Malayan Democratic Union, Parti Rakyat dan Parti Buruh.

Hari ini ia lebih diwakili Parti Sosialis Malaysia berbanding parti-parti lama yang lahir sebagai kiri tetapi kini sudah lain jadinya seperti Parti Progresif Rakyat, Sarawak United People’S Party dan Gerakan.

Cuma dalam konteks amalan politik di negara ini, golongan kiri di Malaysia gagal keluar dari kongkongan politik kaum. Memang mereka tidak bermain secara langsung dengan perkauman. Namun, mereka sedar bahawa sukar untuk menggantikan polemik kaum dan agama dengan hal-hal ekonomi, kebebasan, keadilan, hak saksama dan solidariti yang tidak mementingkan warna kulit, agama atau gender.

Allahyarham Kassim Ahmad sendiri walaupun pernah memimpin PRM yang diubah namanya seketika kepada PSRM – di mana S adalah Sosialis – beliau gagal membawa ideologi itu merentasi kaum dan agama. Akhirnya beliau memilih Islam (yang dilihatnya sebagai progresif) yang sesuai dengan jiwa nasionalisme Melayu kirinya.

Setakat ini, sama ada di dalam jiwa seseorang insan kiri itu ada semangat Marx, Lenin atau Mao, dan mungkin ditokok-tambah Sukarnoisme atau marhaenisme, selagi dia di bumi Malaysia, selama itulah dia terpaksa mengharungi politik kaum dan agama. – 12 Oktober, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen