POLIS masih memburu pemimpin PKR Farhash Wafa Rizal Salvador Mubarak walaupun laporan polis terhadapnya berhubung kes pukul ditarik semula.
Awal hari ini, pengadu yang mendakwa diserang Farhash satu dalam pergaduhan pada malam Merdeka menarik semula laporan polis itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Ahmat berkata pengadu membuat satu laporan polis berasingan untuk menarik semula laporan asal yang dibuat pada Khamis lalu.
Bagaimanapun kes itu masih dirujuk polis kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Farhas yang merupakan Setiausaha Politik Presiden PKR Anwar Ibrahim, masih gagal dikesan.
“Farhash yang merupakan suspek utama, masih belum tampil dan saya menggesa untuk berbuat demikian secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal minggu ini, polis telah menahan lima suspek berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun yang bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai untuk membantu siasatan kes.
Fadzil berkata, empat daripada suspek telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis manakala seorang lagi diserahkan kepada polis Cheras berhubung kesalahan berkaitan dadah.
Polis sebelum ini berkata Farhash dan 10 lagi individu didakwa menyerang seorang jurulatih tinju di luar Kompleks D’Star Arena pada malam Hari Merdeka.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, berlaku pergaduhan melibatkan 12 hingga 14 lelaki di Kompleks D’Star Arena, Taman Dagang Permai di Ampang.
Pergaduhan tercetus apabila suspek datang ke kompleks itu dan menyerang mangsa (jurulatih tinju) di bahagian muka, kata polis.
Kedua-dua lelaki berkenaan kemudiannya diminta beredar oleh pengurus kompleks.
Farhash dalam satu kenyataannya baru-baru ini berkata beliau sedia memberi kerjasama penuh berhubung perkara itu walaupun laporan polis dibuat atas nama adiknya. – 7 September, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen