DUA pesara tentera mendakwa mereka yang menganjurkan demonstrasi yang meragut nyawa seorang anggota pasukan khas berpangkat mejar di Sabah semalam, gagal melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi acara seperti itu.
“Jelas berlaku ketidakpatuhan SOP,” kata bekas jeneral itu berhubung insiden yang menyebabkan Mejar Mohd Zahir Armaya tertembak dan maut ketika melakukan salah satu persembahan di acara bersempena acara pelancaran divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 di Padang Kawad 6 RAD, Kem Lok Kawi dekat Kota Kinabalu.
Zahir yang merupakan anak kepada pelawak AR Badul, memainkan watak sebagai ketua pengganas apabila seorang pegawai tentera melepaskan tembakan dan terkena di bahagian badan yang tidak dilindungi jaket kalis peluru yang dipakainya.
Pesara tentera berkenaan yang enggan namanya didedahkan berkata, ia bukan amalan biasa bagi tentera untuk menggunakan peluru hidup untuk menembak anggota tentera lain walaupun memakai jaket kalis peluru dan terutamanya ketika mengadakan demonstrasi.
Beliau berkata walaupun sangat tragis bahawa seorang anggota tidak sepatutnya terbunuh, beliau juga bimbang dengan pegawai yang terlibat dalam menganjurkan acara itu kerana ini boleh menjadi bukti dalam rekod ketenteraan mereka, jika tidak memusnahkan kerjayanya.
Mejar (B) Billie Teo bersetuju dan berkata pegawai yang meluluskan penggunaan peluru hidup akan berdepan masalah serius.
“Kita tak sepatutnya menggunakan peluru hidup kerana jaraknya terlalu dekat,” katanya merujuk kepada penonton yang berada di tepi padang ketika demonstari itu berlangsung.
Katanya, terdapat banyak perkara yang perlu pegawai terbabit pertimbangkan, termasuk pada hari demonstari itu diadakan, dan beliau turut mempersoalkan sama ada semua perkara dalam senarai dipatuhi untuk menjalankan demonstrasi berisiko tinggi itu.
“Semua langkah keselamatan perlu dipertimbangan terutamanya jarak selamat peluru sesat, kepakaran peserta dan latihan yang mereka jalankan untuk demontsrasi ini.”
Teo juga berkata, beliau tertanya-tanya sama ada pegawai terbabit mengambil kira keadaan cuaca pada pagi acara itu berlangsung dan faktor dalam pengiraan kelajuan angin, kelembapan dan data penting lain mengenai bagaimana tembakan boleh dilakukan.
“Anggota pasukan khas mati dengan sia-sia. Sedih.”
Jenazah Mohd Zahir, 36, yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka disemadikan di Ipoh, Perak pagi ini. – 5 September Ogos, 2019.
Komen